Sabtu, 2 September 2023 | 3:55pm
Suhaizan Kayat pada Program Himpunan Wanita Perpaduan di Johor Bahru. - Foto BH/NUR AISYAH MAZALAN
Suhaizan Kayat pada Program Himpunan Wanita Perpaduan di Johor Bahru. - Foto BH/NUR AISYAH MAZALAN

Logo BN dalam risalah kempen PH - Suhaizan

JOHOR BAHRU: Tindakan meletakkan logo Barisan Nasional (BN) dalam risalah calon Pakatan Harapan (PH) pada kempen pilihan raya kecil (PRK) berjaya menarik perhatian penyokong tegar BN.

Calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, berkata, pihaknya mencetak 40,000 risalah tambahan selepas 10,000 cetakan terdahulu diedarkan.

Beliau berkata, logo BN dalam bahan kempen yang bertujuan untuk memberi kefahaman tentang kerjasama dua gabungan parti itu berjaya dicapai.

"Pada awalnya kita letakkan logo PH sahaja, tetapi kemudian kita tambah logo BN supaya memudahkan kefahaman penyokong UMNO atau BN supaya mereka dapat rasakan BN sebahagian Kerajaan Perpaduan.

"Kita wujudkan warna biru dengan gambar dacing untuk menggambarkan adanya muafakat di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pada Majlis Himpunan Wanita Perpaduan Johor 2023 di Dewan Persatuan Cerebral Palsy di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Wanita PH, Fadhlina Sidek dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, sambutan terhadap risalah berkenaan sangat baik, sekali gus menunjukkan bentuk sokongan pengundi.

Berita Harian X