Selasa, 11 Julai 2023 | 5:44pm
Wang tunai disogok untuk mendapat pengaruh politik. - Foto BH/AZIAH AZMEE
Wang tunai disogok untuk mendapat pengaruh politik. - Foto BH/AZIAH AZMEE

Segerakan Akta Pendanaan Politik, kawal politik wang

KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan mempercepat usaha menggubal Akta Pendanaan Politik bagi mengawal pengaruh wang dalam politik.

Dalam satu kenyataan, badan bukan kerajaan (NGO) itu berpandangan penggubalan undang-undang itu perlu disegerakan memandangkan draf rang undang-undang mengenai pendanaan politik sudah siap sejak enam tahun lalu.

"Meskipun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengatakan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan jawatankuasa pilihan Parlimen, penting untuk mempercepat proses pembaharuan dalam bidang ini yang siap draf sejak 2017.

"Undang-undang mengenai pendanaan politik yang lebih ketat dan telus akan membantu mencegah penyalahgunaan kuasa, mengawal pengaruh kewangan dalam politik dan memastikan proses politik yang lebih adil dan demokratik," katanya hari ini.

Pada Mac lalu, Azalina ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan akan merujuk Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan diwujudkan.

Jelasnya, langkah itu membolehkan parti politik dan pihak berkepentingan memberi maklum balas bagi memastikan akta yang akan digubal bersifat menyeluruh.

Sementara itu, MCW yakin cadangan supaya kerajaan memperluas kuat kuasa Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kepada penjawat awam, akan memberi kesan besar pada usaha mencegah rasuah dalam sektor awam.

Ketika ini, Seksyen 17A memperuntuk mengenai liabiliti korporat, iaitu organisasi komersial boleh didakwa dan dihukum jika membenarkan kakitangannya melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah bagi organisasi komersial itu.

Seksyen itu secara langsung meletakkan beban pencegahan rasuah ke atas organisasi komersial dan pengurusannya, dan kegagalan organisasi untuk mencegah rasuah boleh didakwa dan dihukum mengikut peruntukan itu.

MCW berpandangan kerajaan perlu mengkaji keperluan memperluas peruntukan itu untuk turut merangkumi penjawat awam, menerusi perbincangan menyeluruh, bagi memastikan kesesuaian dan keadilan penguatkuasaannya di Malaysia.

"Transformasi undang-undang melalui penerapan liabiliti korporat kepada penjawat awam akan memberi kesan besar dalam meningkatkan akauntabiliti dan mencegah rasuah dalam sektor awam.

"Ia pasti memberikan kesan pencegahan segera dan menyediakan hukuman yang lebih tegas terhadap penjawat awam yang terbabit dalam aktiviti rasuah," katanya.

Mengulas mengenai keperluan mendesak dalam reformasi undang-undang, MCW menggariskan empat perkara, khususnya penambahbaikan SPRM membabitkan pelantikan ketua kesuruhjaya serta memberi autonomi dan diiktiraf sebagai sebuah badan berperlembagaan sendiri di bawah Parlimen.

Katanya, perkara lain termasuklah meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem perundangan serta menguatkuasakan perlindungan hak asasi manusia dan menghapuskan undang-undang yang berpotensi menindas atau membatasi kebebasan individu.

"Kerajaan juga perlu memperbaiki sistem perundangan bagi memastikan keadilan dan keberkesanan dalam sistem kehakiman negara, termasuk penyediaan sumber manusia dan peruntukan kewangan mencukupi untuk mahkamah, pengurangan kelewatan dalam proses undang-undang dan pembaharuan pendekatan kepada pembebasan bersyarat dan alternatif kepada hukuman penjara," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau unsur rasuah ketika kempen. - Foto BH/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau unsur rasuah ketika kempen. - Foto BH/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

Berita Harian X