Ahad, 2 Julai 2023 | 5:38pm
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Semangat Kerajaan Perpaduan mampu bantu BN kuasai 70 peratus kerusi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mampu menawan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri jika semangat Kerajaan Perpaduan dapat diterjemahkan sepenuhnya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata BN boleh menampilkan lebih ramai muka baru atau calon muda dalam PRN kelak sebagai misi bagi mencapai kemenangan itu, selain dilihat tawaran baru untuk menarik sokongan undi.

"Saya lihat pembahagian kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) agak seimbang. Pertembungan satu lawan satu antara BN-PH dan Perikatan Nasional (PN) kemungkinan boleh memberi saingan seimbang dan sedikit kelebihan kepada BN.

"Kalau BN letak calon baru dan tiada lagi orang lama, saya rasa ini juga boleh bantu BN untuk menguasai 70 peratus kerusi yang mereka tandingi nanti," katanya ketika dihubungi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang medianya semalam memberitahu BN dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri, berdasarkan kedudukan semasa kerusi dimenangi BN dan PH, pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Menyentuh peluang BN dan PH di Negeri Sembilan, Mujibu berkata, gabungan itu dilihat lebih menonjol memandangkan beberapa faktor yang memberi kelebihan kepada mereka, khususnya berbekal prestasi dalam PRU 2018 dan PRU tahun lalu.

"Di Negeri Sembilan juga, PN terutama BERSATU tidak mempunyai jentera dan akar umbi yang kuat jika dibandingkan dengan UMNO atau PH. PN juga mengharap kepada PAS.

"Selain itu, faktor ketokohan pemimpin seperti bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan dan Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat memiliki momentum besar dalam menarik keyakinan dan kepercayaan pengundi di negeri itu," katanya.

Bagi Pulau Pinang pula, Mujibu berkata, DAP perlu berjiwa besar untuk menyerahkan sebahagian kerusi yag didominasi mereka kepada BN khususnya MCA.

"Ini formula terbaik untuk mengelakkan dua parti ini bergelut sesama sendiri mengenai agihan kerusi. DAP mesti berjiwa besar untuk menyerahkan sebahagian kerusi kepada BN khususnya MCA, seperti dibuat PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang menyerahkan kerusinya kepada MUDA sebelum ini.

"Atau juga menerusi formula agihan kerusi gantian di negeri lain. Contohnya, jika DAP mahu semua kerusi di Pulau Pinang, maka MCA tidak akan dapat bertanding banyak kerusi di sana, tapi boleh digantikan dengan kerusi DAP atau PH lain di Kedah atau Selangor," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pula optimis undi Melayu yang menyokong BN sebelum ini tidak beralih dengan mudah khususnya kepada PN.

Katanya, trend semasa menunjukkan pengundi Melayu semakin bijak dalam menilai dan meneliti perkembangan semasa isu politik negara khususnya yang membabitkan kepentingan mereka.

"Saya jangka kerjasama DAP dan UMNO pun sudah diterima oleh ahli dan penyokong mereka. Mereka sudah terima hakikat bahawa ini untuk kestabilan kerajaan dan membangunkan negara. Kalau ada yang kecewa pun sebahagian kecil dan boleh diselesai menjelang PRN nanti.

PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan berlangsung selewat-lewatnya sebelum hujung Ogos atau 22 Ogos ini, jika ia mahu diadakan serentak.

PH dan BN membawa misi untuk mempertahankan tiga negeri disandang mereka iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, sementara PN, selain mahu mempertahan Kedah, Kelantan dan Terengganu, mereka berusaha memecah dominasi PH di Pulau Pinang dan Selangor.

Berita Harian X