KUALA LUMPUR: Saranan supaya pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) memberi sokongan kepada calon DAP ialah gambaran pengukuhan kerjasama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Foke, menyifatkan saranan itu sebagai munasabah dengan setiap parti dalam gabungan berkenaan wajar saling menyokong, terutama pada PRN.
Sebagai timbal balik, beliau berkata, DAP juga akan menggesa ahlinya mengundi calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing, bertujuan mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.
"Ini kenyataan logik. Apabila kita bekerjasama, sudah tentu rakan dalam kerjasama akan saling menyokong. Sama juga pemimpin DAP semasa kempen PRN nanti. Kita akan meminta ahli mengundi calon UMNO khususnya.
"Sudah tentu bila kita kerjasama dalam satu gabungan, kita mesti sokong antara satu sama lain kerana kita tidak bertanding menentang sesama sendiri. Kita pastinya berterima kasih kepada (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO), Datuk Seri Ahmad Maslan kerana membantu kita," katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas saranan Ahmad agar pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Jumaat lalu, Ahmad turut dilaporkan berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Susulan kenyataan Ahmad itu, Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching Ahad lalu, meminta ahli dan penyokong parti itu mengetepikan perbezaan dan memberi sokongan serta undi kepada calon UMNO yang juga parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN akan datang.
Beliau dilaporkan berkata, mengundi parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu penting bagi memastikan kestabilan politik, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Sementara itu, Siew Fook yang juga Menteri Pengangkutan menyifatkan, saranan Ahmad tidak hanya menjurus kepada DAP, sebaliknya merangkumi keseluruhan calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada PRN berkenaan.
"Saya rasa mesej ini bukan sahaja kepada calon DAP tetapi kepada calon PH, sama juga dengan pemimpin PH yang akan berkempen nanti kita akan kempen supaya penyokong PH undi calon BN di mana calon PH tidak bertanding.
"Jika BN yang bertanding, kita minta penyokong PH alihkan sokongan terhadap BN. Jadi, itu kenyataan itu logik," katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban.