Jumaat, 14 April 2023 | 11:12pm
Agihan kerusi DUN Kelantan dan Terengganu diselesaikan selepas Hari Raya. - Foto hiasan
Agihan kerusi DUN Kelantan dan Terengganu diselesaikan selepas Hari Raya. - Foto hiasan

Agihan kerusi Kelantan, Terengganu muktamad selepas Hari Raya

KUALA TERENGGANU: Rundingan agihan kerusi di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu akan dimuktamadkan selepas Aidilfitri.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR di Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata rundingan awal berhubung agihan kerusi di antara kedua-dua parti sudah diadakan.

Beliau berkata, agihan belum dimuktamadkan kerana beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum calon dipilih untuk bertanding.

Katanya, setiap parti juga akan mengadakan proses saringan calon yang akan bertanding pada PRN nanti.

"Bagi Kelantan dan Terengganu, keputusan kita untuk bagi BN mendapat lebih banyak kerusi kerana mereka lebih ke depan.

"Ia juga atas rekod mereka lebih lama di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan di sini hari ini.

Ketika ditanya sasaran kerusi di kedua-dua negeri yang dikuasai pembangkang, Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR berkata, PH menyasarkan mahu memberi tumpuan di kawasan bandar.

Bagaimanpun, katanya, sebarang keputusan yang dibuat mengenai agihan kerusi itu akan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk prestasi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Itu antara gambaran kitalah dan macam AMANAH (Parti Amanah Negara) mereka juga ada kekuatan dia dan BN (pun) ada kekuatan dia.

"Tetapi kita akan tengok juga prestasi lama termasuk PRU-15 tempoh hari dan kita tengok juga demografi dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini, enam negeri dilaporkan sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Ini membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran PH sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan di bawah Perikatan Nasional (PN).

Berita Harian X