Jumaat, 14 April 2023 | 4:14pm

Sanusi tak kecil hati

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berkecil hati walaupun tidak dijemput menghadiri majlis anjuran Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, tiada jemputan dihantar ke Pejabat Menteri Besar Kedah dan itu dianggap perkara kecil.

"Jika membabitkan urusan rasmi kerajaan atau program berkaitan pentadbiran, kena jemput lah. Kalau tak rasmi, tak apa.

"Tak kecil hati pun. Pada masa sama, saya perlu hadir program lain yang dirancang lebih awal," katanya selepas majlis penyerahan insentif kemenangan Para Sukan Malaysia (SUKMA) kepada atlet Kedah di sini, malam tadi.

Terbaharu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tidak menerima jemputan untuk Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK), Sungai Petani, hari ini.

Program berkenaan dijadual dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi termasuk EXCO kerajaan negeri turut tidak dijemput untuk menghadiri program anjuran Kementerian Penerangan di Kedah.

Pada Mac lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan terdapat arahan bertulis daripada Kabinet yang melarang kehadiran beliau dalam majlis anjuran Kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) pada 23 hingga 27 Mei depan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai kehadiran Anwar ke Kedah untuk menjayakan program iftar berkenaan.

"Saya pun tak tahu beliau (Anwar) akan ada di Kedah. Mereka (KDN) tak jemput (saya) tak mengapalah. Saya tak hadir lah.

"Lagipun hanya majlis berbuka puasa, bukan acara rasmi kerajaan. Walaupun berbuka puasa itu wajib tetapi jemputan untuk kerajaan negeri dianggap sunat sahaja. Tak panggil pun tak apa," katanya.

Muhammad Sanusi (kanan) menyampaikan insentif kemenagan kepada Mohamad Ridzuan Khalid di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah. - Foto NSTP/SYAHARIM ABIDIN
Muhammad Sanusi (kanan) menyampaikan insentif kemenagan kepada Mohamad Ridzuan Khalid di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah. - Foto NSTP/SYAHARIM ABIDIN
Berita Harian X