GEORGETOWN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya tidak berhasrat merayu selepas keahlian beliau sebagai ahli UMNO Sabah digantung selama enam tahun.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah berkata, akan menjalani tempoh pergantungan itu, selain bertumpu kepada menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau.
"Tidak. Saya tidak akan buat rayuan dan akan menjalani tempoh pergantungan selama enam tahun itu," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Sabah Zon Utara di sini malam ini.
Ketika disoal sama ada beliau mempertimbangkan sama ada akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Shahelmey menjawab: "Saya akan maklumkan kemudian".
Mengulas mengenai tiga ADUN Sabah dibuang daripada parti itu seperti diumumkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Ahad lalu, Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat menyifatkan perkara itu bukan satu isu.
Ini kerana ketiga-tiga mereka terlibat iaitu Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) terlebih dahulu mengumumkan keluar daripada parti.