AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka yang baru dilantik, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yakin acuan Kerajaan Perpaduan peringkat nasional dapat diterjemahkan pada peringkat negeri.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengakui beliau belum memperoleh kaedah untuk merealisasikan acuan Kerajaan Perpaduan dalam pentadbiran Kerajaan Melaka.
"Kerajaan ini adalah kerajaan yang stabil selepas pilihan raya negeri.
"Saya juga yakin dengan kerjasama parti-parti politik bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan ... akan kita lihat saranan Presiden (UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
"Ia akan terbentuk di Melaka (komposisi Kerajaan Perpaduan)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.