KUALA LUMPUR: Parti politik dalam Kerajaan Perpaduan disaran meneruskan rundingan dengan menamakan calon Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) bagi enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Langkah itu menurut penganalisis politik penting supaya tidak mewujudkan konflik antara parti terutama dalam satu gabungan.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan menghadapi sedikit kesukaran kerana kerajaan ini masih baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rundingan mungkin sukar kerana tiada lagi parti dominan
Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang mana tiga parti sudah bergabung sebelum PRU15, maka persefahaman mereka berhubung calon Menteri Besar dan Ketua Menteri lebih mudah untuk dirundingkan.
"Rundingan mengenai kerusi dan menamakan calon MB dan KM itu akan mengambil masa kerana ketika ini tiada parti yang dominan yang menguasai kerajaan.
"Rundingan antara parti untuk hadapi PRN ini tidak mendatangkan banyak masalah jika ada satu parti yang menguasai kerajaan seperti ketika pentadbiran Parti Perikatan di zaman Tuanku dan Barisan Nasional (BN) sebelum 2008.
"Selepas 2008, tiada lagi parti yang dominan, justeru persoalan mengenai kerusi dan calon MB dan KM itu perlu rundingan yang mengambil masa sedikit,
"Jadi rundingan itu perlu dibuat sejak awal lagi kerana ia tidak akan selesai dalam sekali rundingan malah perlu melalui beberapa fasa rundingan dengan mengambil kira pelbagai faktor dan latar negeri," katanya kepada BH.
Jamaie berkata, Kerajaan Perpaduan adalah satu pakatan baharu dan membabitkan banyak pihak termasuk parti di Sabah dan Sarawak, sudah tentu rundingan akan memakan masa dan mengambil beberapa pusingan.
Mengenai kewajaran menamakan calon MB dan KM, katanya wajar atau tidak bergantung kepada calon yang dipilih.
Katanya, calon yang dinamakan itu perlu ada ketokohan, pengalaman, pendidikan yang baik dan hubungan yang baik dengan pusat serta diterima baik masyarakat.
"Jika ia menepati kriteria itu maka wajar ia dinamakan lebih awal dan dijadikan 'poster boy', sebaliknya jika calon itu kontroversi dan mempunyai rekod yang buruk maka hasrat menamakan itu perlu dilupakan dulu.
"Kita tidak mahu ada calon dinamakan dan menjadi poster boy tetapi akhirnya orang lain yang dilantik sebagai Menteri Besar. Ini sudah tentu menimbulkan konflik kepada kerajaan negeri selepas PRN," katanya.
Beliau menegaskan mungkin ada kelebihan kepada PN jika mereka mahu menamakan calon MB dan KM yang lebih mudah kerana kerjasama persefahaman itu sudah dibentuk sebelum PRU15.
"Namun, PN perlu berhati-hati bagi memastikan calon mereka ada kredibiliti dan tidak kontroversi," katanya
Beliau menjelaskan aliran menamakan calon MB dan KMini sebenarnya sudah hampir 20 tahun dilaksanakan dalam kebanyakan pilihan raya.
"Ini taktik meraih sokongan terutama dalam negeri yang dianggap penting seperti Selangor.
"Keyakinan pengundi itu perlu dibina untuk meraih undi dan dalam masa yang sama bentukkan kefahaman dalam kalangan ahli parti sebelum meneroka kefahaman pengundi," katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata calon MB dan KM adalah tawaran yang perlu diketengahkan parti politik bagi meraih sokongan.
"Dalam tawaran, parti politik perlu memberi tawaran terbaik kepada rakyat/pengundi dan penamaan calon yang menjadi 'poster boy' itu penting untuk pengundi membuat keputusan.
"Ini kerana pengaruh seorang MB untuk pemerintahan kerajaan negeri pasca PRN nanti sangat penting," katanya.
Namun, katanya tindakan parti politik membuat penamaan awal terhadap 'poster boy' mereka ada pro dan kontra.
"Antara kelebihannya parti berpeluang memperkenalkan calon MB lebih awal dan berpotensi mengumpul sokongan jika calon itu memiliki faktor 'wow'
"Kejayaan mencapai konsensus calon 'poster boy' juga membolehkan parti mencapai persefahaman lebih awal di peringkat dalaman, seterusnya boleh terus fokus kepada kempen," katanya
Bagaimanapun, tegas beliau langkah menamakan 'poster boy' berisiko timbul ketidaktenteram dalaman parti jika penamaan itu tidak capai konsensus sepenuhnya
"Dalam masa yang sama, ia menyebabkan risiko penolakan awal oleh pengundi jika calon yang dinamakan kurang kompeten dan tidak cukup 'wow'," katanya
Mengulas kemungkinan PAS mengguna logo sendiri di Kelantan dan Terengganu, serta pengumuman BN untuk guna logo sendiri meskipun bertanding secara bersama dengan PH, katanya itu satu tindakan yang munasabah kerana logo paling strategik adalah yang paling 'familiar' dalam kalangan pengundi
"Namun dalam konteks kebersamaan dalam sebuah gabungan, bertanding guna logo gabungan rasmi akan lebih menggambarkan kesepakatan dan bulat tekad parti itu," katanya.