ISKANDAR PUTERI: Johor wajar mengubal enakmen membolehkan semua wakil rakyat mendapat peruntukan sama rata.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata langkah itu bagi menjamin semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan dan pengimbang mendapat dana sama dari kerajaan.
Katanya, perkara itu antara pembaharuan yang perlu dilaksanakan dengan Johor boleh dijadikan teladan kepada negeri lain, dengan meluluskan enakmen itu.
"Jika enakmen itu dilaksanakan, kita tidak perlu tunggu lagi setiap penggal untuk menentukan sekiranya ada peruntukan yang akan diberikan kepada ADUN pengimbang kerajaan.
"Saya percaya kita tak perlu tunggu akta ini untuk dilulus dan digazetkan di peringkat Persekutuan kerana kita boleh menjadi contoh kepada negeri lain," katanya pada sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Pada November 2021, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor ketika itu, dilaporkan mengumumkan semua 56 ADUN di Johor akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setahun.
Dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) BN pada Mac tahun lalu juga, gabungan terbabit berjanji untuk terus memberikan peruntukan yang sama kepada semua ADUN sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang.
Dalam pada itu, Amira Aisya berkata, isu peruntukan sama rata tidak boleh dianggap remeh oleh sesiapa pun kerana membabitkan rakyat.
"Johor boleh menunjukkan kepada rakyat bahawa semua wakil rakyat dalam DUN ini meletakkan kebajikan bangsa Johor lebih tinggi daripada agenda parti politik," katanya.