Sabtu, 18 March 2023 | 7:28pm

Bukan mudah urus Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM: Bukan mudah menguruskan gabungan yang disertai oleh 19 parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata menjadi kewajipan semua pihak dalam parti komponen untuk berganding bahu mempertahan Kerajaan Perpaduan.

"Mengapa saya kata kewajipan penting untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan? Kerana menguruskan politik gabungan bukan kerja mudah.

"Ia perlu banyak kesabaran dan perlu diterajui oleh tokoh yang mempunyai seni politik, mengurus perbezaan pendapat, merencanakan kepentingan parti sendiri dan mengambil pendekatan 'give and take' (bertolak ansur).

"Tak mudah ketika harapan anggota parti sendiri sangat tinggi. Kerana itu, saya boleh merasakan bagaimana Presiden Keadilan (PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini sedang menerajui Kerajaan Perpaduan dan cara menguruskan perbezaan-perbezaan ini," katanya.

Selain menggarap semangat kesepaduan, Saifuddin berkata, ahli PKR sendiri harus ada inisiatif sendiri dengan menggarap displin organisasi yang tinggi, selain menjaga silaturahim sesama ahli.

Tambahnya, ini termasuk memperkukuh parti di peringkat akar umbi sambil menegaskan tiada jalan singkat berbuat demikian.

"Kita kena hebahkan dasar dan program kerajaan hari ini. Kita mesti 'offensive' (mematahkan serangan musuh) dari segi politik," katanya.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat di Stadium Melawati. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat di Stadium Melawati. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Berita Harian X