KUALA LUMPUR: Tuduhan rasuah dihadapi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika ini akan menjejaskan 'gelombang hijau' atau sokongan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, berkata pendakwaan beberapa pemimpin BERSATU di mahkamah yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah mungkin menyedarkan segelintir pengundi Melayu mengenai imej parti itu.
"Mungkin ada beberapa bahagian pengundi Melayu yang menyedari PN mungkin tidak begitu bersih.
"Dakwaan jahat yang dilemparkan terhadap pemimpin UMNO tertentu kerana rasuah mungkin akan kembali berbalik kepada pemimpin PN," katanya di media sosial.
Dengan perkembangan terbaru itu, beliau berkata, keyakinan PN untuk menguasai sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) kelak mungkin samar dan tidak selancar seperti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
"Gelombang hijau mungkin melonjakkan kejayaan PN pada PRU ke-15 lalu dengan lebih 50 peratus sokongan orang Melayu.
"Rekod ini boleh dikekalkan dalam PRN dalam tempoh tujuh bulan ini, masih belum dapat ditentukan," katanya.
Beliau berkata, pemimpin PAS mungkin tidak terbabit secara langsung dalam tuduhan rasuah, namun pembabitkan pemimpin BERSATU dalam isu Jana Wibawa turut meresahkan mereka.
Katanya, pendedahan kes rasuah terbabit menjadi pilihan terbaik kepada kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan kesan 'gelombang hijau' yang disifatkannya membimbangkan.
"Fenomena gelombang hijau bukan satu yang tidak ada kesudahannya, tetapi boleh diredakan dan menjadi tidak berkesan, jika ada pemimpin PN boleh dibuktikan sebagai korup," katanya.
Pada 20 Februari lalu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Turut didakwa, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan projek sama, sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa hari lalu juga menahan Bendahari BERSATU, Datuk Mohd Salleh Bajuri bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.