Khamis, 16 Februari 2023 | 5:37pm
Suasana pendaftaran calon Pemilihan UMNO 2023-2026 di Menara Dato' Onn, hari ini. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Suasana pendaftaran calon Pemilihan UMNO 2023-2026 di Menara Dato' Onn, hari ini. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Ramai calon belum sahkan bertanding Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Seramai 57 calon membuat pendaftaran pencalonan jawatan peringkat pusat bagi Pemilihan UMNO 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata pendaftaran bermula 13 Februari lalu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, masih belum ada calon yang berdaftar untuk jawatan Naib Presiden dan Ketua Wanita UMNO.

Menurut Shahrir, calon yang mendaftar setakat ini bertanding untuk 12 daripada 19 jawatan yang ada dalam MKT UMNO, Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda.

"Bagi penjawatan MKT, seramai 18 calon mendaftarkan diri untuk empat jawatan termasuk Pengerusi tetap, Timbalan pengerusi tetap dan 25 jawatan lain dalam MKT," katanya di laman Youtube media UMNO.

Selain MKT, Shahrir berkata, 14 calon sudah mendaftar bagi merebut jawatan di peringkat sayap Wanita UMNO, 19 calon Pemuda UMNO dan enam calon dari Pergerakan Puteri UMNO.

Beliau berkata, di peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tiga jawatan akan dipertanding, menjadikan 12 jawatan yang ada sudah ada calon berdaftar daripada 19 jawatan yang dibuka untuk ditandingi.

"Jawatan di peringkat MKT, ada seorang calon di jawatan pengerusi tetap, tiga calon timbalan pengerusi tetap, dan 14 calon bagi 25 jawatan di peringkat majlis tertinggi," katanya.

Di peringkat Wanita, Shahrir berkata, ada satu calon untuk jawatan timbalan pengerusi tetap, satu calon untuk naib ketua, dan 12 calon untuk mengisi 20 jawatan exco pergerakan wanita.

"Bagi Pemuda, satu calon untuk Pengerusi tetap, satu calon bagi ketua dan 17 calon bagi mengisi 20 jawatan di peringkat exco pemuda," katanya.

Bagi sayap Pergerakan Puteri UMNO, Shahrir berkata, ada satu calon untuk timbalan pengerusi tetap, tiga calon jawatan ketua pergerakan Puteri dan dua calon untuk mengisi 20 jawatan exco pergerakan Puteri.

Beliau berkata, proses pendaftaran calon dibuka selama dua minggu, iaitu hingga 26 Februari.

Antara calon yang dijangka bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
Antara calon yang dijangka bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Berita Harian X