KANGAR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menawarkan diri mencabar bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar, dalam pemilihan akan datang.
Fathul yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, hasrat itu sebagai isyarat menghormati demokrasi dalam parti yang membuka ruang untuk pertandingan.
Azlan dijangka mempertahan jawatan berkenaan, walaupun beliau masih berdiam diri dan tidak menyatakan pendirian mengenainya.
Fathul yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berkata, beliau sudah mempunyai perancangan khusus dalam usaha mengembalikan kekuatan parti itu yang mencatat prestasi terburuk dalam PRU lalu.
"Kita mahu memastikan UMNO kembali bangkit dalam keadaan terhormat dan lebih kuat dalam mendepani PRU16 yang dilihat lebih mencabar.
"Tanpa hilang sedikit pun rasa hormat terhadap pemimpin sedia ada, selain sebagai respons menghormati demokrasi dalam parti yang membuka ruang untuk pertandingan, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar," katanya hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan apa yang sudah dilakukan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu sepanjang lima tahun menunjukkan betapa beliau serius dalam mengembalikan semula kekuatan dan sokongan UMNO di Kangar.
Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong mengetuai UMNO Bahagian Kangar sejak tahun 2014.
Pada PRU lalu, UMNO dan BN tumbang di Perlis kerana tewas di semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen.
Dalam perkembangan berkaitan, Fathul Bari berkata, beliau masih mempertimbang cadangan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO peringkat pusat.
"Saya akan mengambil sedikit masa lagi sebelum membuat keputusan.
"Walaupun ada galakan dan sokongan pelbagai pihak bertanding jawatan berkenaan, saya perlu melihat keperluan terhadap cadangan itu," katanya.