ALOR SETAR: UMNO Kedah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam proses pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata ini kerana demografi dan landskap politik sekarang sudah berubah dan memerlukan gabungan strategik untuk menang dalam PRN nanti.
"Setiap parti kena terbuka mengakui kekuatan dan kelemahan, justeru bergabung untuk menang.
"Tidak dinafikan kekuatan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini berada dalam keadaan yang terbaik, namun keterbukaan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam pembahagian kerusi akan dapat mengubah suasana dan dijangka mampu memberikan tentangan di beberapa kawasan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar, agar parti komponen PH dan BN tidak bersikap seperti 'abang besar' dalam proses pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN.
Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, UMNO terbuka dan berada dalam keadaan yang terbaik untuk berbincang demi mematahkan ego Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Katanya, isu abang besar sebenarnya tidak timbul kerana UMNO selama ini tidak mempunyai perwatakan sedemikian.
"Saya percaya perbincangan peringkat atasan parti akan dilakukan menjelang PRN kerana matlamat kita sama iaitu menamatkan kerajaan PN di Kedah yang hanya gah dengan `pengumuman mega' tetapi hasil kepada rakyat tidak setara mana," katanya.
Terdahulu, Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH, berkata parti kompenan PH dan BN perlu bersifat terbuka kerana masing-masing perlu mengecilkan jumlah kerusi pada PRN kelak.
Sebelum ini media melaporkan PN yakin mampu menang 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRN yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Julai depan.
Muhammad Sanusi selaku Pengerusi PN Kedah, dilaporkan berkata, tindakan PH dan BN bergabung juga dilihat tidak menjejaskan peluang PN menang pada PRN Kedah.
Katanya, beliau yakin PN mampu memenangi majoriti kerusi DUN Kedah berdasarkan pencapaian gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.