KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul terkhilaf dalam memutuskan tiada kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu, atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan Johari jelas membuat tafsiran khilaf berhubung Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.
"Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, BERSATU akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.
"Saya percaya mahkamah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, Johari turut terkhilaf dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU berhubung pengguguran keahlian serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik.
Jelasnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan BERSATU.
"Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat terbabit kerana mereka ahli BERSATU dan BERSATU ialah pengasas serta parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada masa itu.
"Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai parti politik lain mengikut semangat dan inti pati Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU," katanya.
Selain itu, beliau berkata, surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan empat Ahli Dewan Rakyat terbabit ialah calon GRS dari parti BERSATU.
Katanya, ini bermakna, penyertaan mereka sebagai ahli langsung GRS tidak menjejaskan keahlian dalam BERSATU ketika mereka bertanding dalam PRU15 lalu dan surat berkenaan sudah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membantunya membuat keputusan.
"Jika pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, Fasal 27 Perlembagaan BERSATU memperuntuk kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.
"Dalam hal ini, hanya MPT BERSATU boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat terbabit gugur keahlian mereka serta-merta, apabila mereka menyertai GRS," katanya yang turut memuat naik surat rasmi BERSATU bertarikh 3 November 2022 berhubung senarai calon GRS untuk PRU15 bagi kerusi Parlimen di Sabah di Facebook.
Nama empat Ahli Parlimen terbabit turut tersenarai dalam lampiran surat berkenaan.
Mereka ialah Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).
Mengulas lanjut, beliau berkata, fakta jelas menunjukkan bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember 2022.
Tindakan bertukar parti empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Disember 2022, iaitu kedua-dua perbuatan itu mengakibatkan keguguran keahlian mereka dalam BERSATU mengikut Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU selepas PRU15.
"Alasan yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah empat Ahli Dewan Rakyat terbabit menjadi ahli langsung GRS pada 27 Oktober 2022.
"Dengan mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapati keahlian mereka dalam BERSATU gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU-15 pada 19 November 2022.