Rabu, 11 Januari 2023 | 5:54pm

Orang bukan Islam takut PAS: Dominic

GEORGETOWN: Orang bukan Islam bimbang dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PAS sehingga Perikatan Nasional (PN) sukar menarik sokongan pengundi Cina dan India.

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata kebangkitan 'gelombang hijau' dan isu-isu yang dikaitkan dengan Islamofobia mengakibatkan PN menghadapi cabaran besar ketika berdepan penduduk bukan Islam, menjelang ketibaan pilihan raya negeri (PRN).

Katanya, GERAKAN terpaksa mengadakan dialog tertutup dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang Isnin lalu bagi mencapai kata sepakat mengenai dasar, kenyataan dan tindakan yang diambil sebagai parti komponen PN.

"Kita memang nampak sokongan bagi orang Melayu memanglah kekal dan tetap bersama-sama PN. Tetapi jika mahu dapatkan sokongan daripada bukan Islam, bukan Melayu memang kita akan ada cabaran yang besar.

"Cabaran itu termasuk juga kebimbangan 'gelombang hijau' selain mengenai Islamofobia dan kenyataan oleh pemimpin-pemimpin PAS di negara kita," katanya di sini, hari ini.

Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, GERAKAN sebagai komponen parti yang mewakili bukan Islam dan bukan Melayu memainkan peranan penting dalam memberi penjelasan berhubung perkara itu dengan menjadikan Perlembagaan sebagai rujukan utama.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan orang bukan Islam ialah hukum hudud, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) 355 dan perlu difahami RUU itu, jika dilaksanakan hanya membabitkan mereka yang beragama Islam.

"Tuan Guru Hadi juga menjelaskan semasa mereka tidak membenarkan lesen judi 4D di Kelantan pada permulaan memang ada perbincangan dalam kalangan pemimpin agama di Kelantan, termasuk membabitkan pemimpin agama Buddha, Hindu.

"Mereka bersama-sama setuju judi itu aktiviti kurang baik. Jadi, setuju pemberian lesen judi dihentikan Kelantan. Ini satu sejarah," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang membantah promosi jualan arak secara terbuka sempena Tahun Baharu Cina di pusat beli-belah, beliau berkata, itu wajar kerana Muhammad Fawwaz bertindak sebagai wakil rakyat di kawasan yang majoriti orang Melayu.

"Sebagai Ahli Parlimen memang sesiapa juga boleh memberi cadangan kepada pengurusan pusat beli-belah kerana beliau seorang wakil rakyat. Jadi, saya tidak terkejut kerana beliau menunjukkan kebimbangan kaum Melayu di Permatang Pauh.

"Saya sudah berhubung dengan Muhammad Fawwaz dan beliau memberitahu beliau tidak membantah jualan arak kepada bukan Islam. Cuma minta tidak dibuat secara terbuka bagi menghormati pengunjung. Bagi saya, penjelasan yang diberikan adalah adil," katanya.

Dominic berkata, GERAKAN berpendapat promosi penjualan arak seumpama itu harus dibenarkan kerana promosi itu dilaksanakan pada jangka masa pendek, iaitu semasa Tahun Baharu Cina dan bukan dilakukan sepanjang tahun.

"Jika promosi sebegini diadakan pada bulan Ramadan, saya sendiri akan katakan ia tidak betul. Namun ia diadakan sempena Tahun Baharu Cina yang berbaki kurang daripada dua minggu," katanya.

Dalam pada itu Dominic turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang mendakwa GERAKAN rela bersekongkol dengan kumpulan politik ekstrem perkauman yang dibawa oleh PN, demi untuk kekal dalam politik.

Beliau menyifatkan Zairil tidak memahami prinsip sebenar perjuangan PN yang menekankan kepada prinsip prihatin, bersih, stabil dan menolak rasuah.

"Zairil tidak faham apa itu prinsip PN. Jadi, saya minta Zairil lihat dahulu video-video kempen PN ketika Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. Di situ dia boleh tahu apa slogan PN," katanya.

Pemimpin PN membantah promosi arak secara terbuka. - Foto hiasan NSTP/ABDULLAH YUSOF
Pemimpin PN membantah promosi arak secara terbuka. - Foto hiasan NSTP/ABDULLAH YUSOF

Orang bukan Islam bimbang dengan kebangkitan pengundi Islam kepada PAS dan BERSATU. - Foto hiasan NSTP/GHAZALI KORI
Orang bukan Islam bimbang dengan kebangkitan pengundi Islam kepada PAS dan BERSATU. - Foto hiasan NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X