Khamis, 5 Januari 2023 | 3:04pm
Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka mengadakan PRN selepas Hari Raya. - Foto BERNAMA
Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka mengadakan PRN selepas Hari Raya. - Foto BERNAMA

Agihan kerusi PRN sebelum Tahun Baharu Cina

GEORGETOWN: Perikatan Nasional (PN) akan memuktamad agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) sebelum Tahun Baharu Cina, 22 Februari ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai, berkata perkara itu penting agar parti dalam PN boleh memulakan gerak kerja awal.

"Persediaan ini penting bukan sahaja kepada calon PN tetapi membabitkan strategi yang akan diatur sama ada bagi menghadapi pertembungan dua, tiga atau empat penjuru.

"Siapa akan mewakili PN bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) itu tidak penting tetapi yang terpenting kita hendak menang dan siapa yang boleh meletakkan calon yang boleh menang.

"Ini faktor lebih penting dipertimbang berbanding berapa kerusi GERAKAN bertanding? Berapa kerusi BERSATU dan berapa kerusi PAS bertanding," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, beberapa mesyuarat sudah diadakan sebelum ini dan beliau melihat PRN mungkin diadakan selepas Hari Raya.

"Terpulang kepada kuasa kerajaan negeri. Jika kita merujuk tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bulan terakhir (DUN terbubar) ialah pada Mei," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, gabungan itu akan akan bertanding di semua 40 kerusi DUN.

Beliau memaklumkan Pengerusi PN di setiap enam negeri terbabit PRN, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengetuai perbincangan pelaksanaan persiapan PRN masing-masing.

Katanya, berdasarkan pengalaman PRU15 dan PRN Melaka serta Johor, rundingan berlanjutan sehingga sebelum hari penamaan calon.

"Sehingga itu, kita akan menyaksikan banyak perubahan berlaku kerana itu persediaan awal penetapan tugasan perlu dilakukan," katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada 22 Januari di Ibu Pejabat GERAKAN di Kuala Lumpur.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS

Berita Harian X