Khamis, 5 Januari 2023 | 2:22pm
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Kuala Lumpur. - GAMBAR UMNO
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Kuala Lumpur. - GAMBAR UMNO

UMNO bimbang ada pihak taja calon

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti disebabkan UMNO bimbang mungkin ada pihak menaja calon tertentu untuk merebut dua jawatan berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata perbuatan menaja calon tertentu mungkin dilakukan pihak yang mahu mengganggu gugat kedudukan dua jawatan tertinggi itu sehingga mengocak perpaduan dalam parti.

"Ada pihak mungkin mahu mengganggu gugat kedudukan dua jawatan itu. Apa berlaku kalau ada pihak tertentu nak menaja orang untuk lawan dua orang ini... hendak huru-harakan UMNO.

"Maka, adakah ia idea bagus untuk teruskan perkara itu (mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden).

"Itu sebab ada cadangan supaya tidak dipertandingkan dua jawatan tertinggi ini sebab sudah nampak perkara ini (ganggu gugat perpaduan UMNO)," katanya dalam program Ketua Penerangan UMNO bersama media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Kira-kira 50 pengamal media termasuk ketua agensi media utama hadir pada program itu. Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim.

Jawatan Presiden UMNO ketika ini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, manakala Timbalan Presiden adalah Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Menteri Pertahanan.

Isham menjawab persoalan mengenai polemik sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu dipertandingkan pada pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum 19 Mei ini.

Sementara itu menerusi video di Facebook, Isham berkata, UMNO tidak pernah meminda perlembagaan untuk menghalang jawatan nombor satu dan dua ditandingi dalam pemilihan nanti.

Tanpa usaha melakukan pindaan itu, jawatan utama parti sehingga kini masih boleh ditandingi oleh mana-mana pemimpin yang berhajat merebut jawatan presiden dan timbalan presiden.

"Dalam UMNO, kita tak boleh halang orang mahu bertanding tanpa pinda perlembagaan. Sebab itu, kalau kita pinda perlembagaan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding, semua orang akan marah.

"Akar umbi akan marah. Marah siapa? Marah presiden dan timbalan presidenlah. Marah Datuk (Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) sebab tamak sangat kuasa.

"Kita pun tahu, nombor satu (Ahmad Zahid) dan nombor dua (Mohamad) pun tahu hal ini. Kita bukan bodoh sangat," katanya.

Beliau mendakwa, cerita kononnya UMNO akan meminda perlembagaan parti bagi mengelak dua jawatan tertinggi itu ditandingi ialah rekaan Perikatan Nasional (PN), dengan tujuan memecahbelahkan kepimpinan UMNO.

Lebih mengecewakan, dakwa beliau, naratif itu disambut beberapa pemimpin dalam UMNO sendiri, terutama mereka yang cenderung untuk membentuk kerjasama dengan PN serta Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita mahu kekal nak pulih parti atau kita nak angkat orang (pemimpin UMNO yang) sokong Muhyiddin dan PN. Kalau mereka tukar kepimpinan di atas, mereka bertanding (dan menang), runtuh kerajaan.

"Sebab mereka mahu bawa kita ke PN. Salah satu cara untuk jatuhkan kerajaan sekarang, dia kena tukar pembuat keputusan di atas. Dia kena tukar nombor satu dan dua parti.

"Kalau dia tukar nombor satu dan dua, dia boleh tukar 30 Ahli Parlimen ini dibawa ke sana. 'So' bila ke sana, kerajaan kita runtuh. Kita akan kembali ke era Langkah Sheraton," katanya.

Langkah Sheraton merujuk kepada tindakan beberapa Ahli Parlimen BERSATU dan PKR yang mengambil keputusan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, sekaligus menyaksikan kerajaan yang dibentuk selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018 lalu, runtuh.

Isham menjelaskan, tidak timbul isu jawatan utama tidak dipertanding dalam pemilihan kali ini, sebaliknya kuasa memilih kepimpinan UMNO baru kelak terletak kepada mandat ahli parti yang memilihnya nanti.

"Keputusan ditangan ahli. Tarikh terakhir untuk kita buat pemilihan pada 19 Mei 2023. Jadi, maksudnya kita ada empat bulan untuk pemilihan peringkat cawangan, bahagian sampailah ke atas," katanya.

Ahmad Zahid dalam sidang media hari ini menjelaskan terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Sementara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang media sebelum ini turut menjelaskan, pindaan perlembagaan UMNO yang akan dibentang dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas pada Jumaat minggu depan, hanya menyentuh berkaitan fasal 8.4,9.2 dan 20.11 Perlembagaan UMNO.

Fasal 8.4 dan 9.2 antara lain berkaitan penyertaan secara tetap Ketua Penerangan parti, termasuk peringkat sayapnya sebagai perwakilan PAU selepas ini.

Fasal 20.11 pula berkaitan pengguguran keangotaan parti secara automatik dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) yang menyertai pakatan parti lain, di mana UMNO bukan satu dari pakatan dalam gabungan itu.

Ahmad menjelaskan, pindaan fasal 20.11 itu bertujuan untuk diselaraskan dengan undang-undang lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang mula berkuat kuasa sejak 5 Oktober lalu.

Isham (tengah) ketika kempen sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, baru-baru ini. - Gambar hiasan NSTP/RUWAIDA MD ZAIN
Isham (tengah) ketika kempen sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, baru-baru ini. - Gambar hiasan NSTP/RUWAIDA MD ZAIN

Berita Harian X