KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menyatakan kesediaan untuk membuktikan keabsahan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor jika perlu.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, berkata ketika ini, Hajiji menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus memimpin kerajaan negeri.
Katanya, ia termasuk tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah yang tampil menyatakan sokongan kepada Hajiji sebelum ini.
"Kami bersedia membuktikan keabsahan sokongan itu kepada pihak yang berwajib apabila dan sekiranya perlu.
"Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berikutan khabar angin ada pihak tertentu yang mendakwa memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN untuk membolehkan kumpulan berkenaan menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baharu.
Ketika ini, kerajaan Sabah ditunjangi GRS bersama rakan sekutunya, Barisan Nasional (BN) atau disebut Kerajaan GRS-BN turut disokong PH Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.
GRS yang merangkumi bekas ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mempunyai 29 ADUN termasuk tiga ADUN Dilantik.
BN pula mempunyai 17 ADUN termasuk dua ADUN Dilantik, menjadikan kedudukan kerajaan GRS-BN kekal kukuh dengan 46 kerusi.
Dengan sokongan tujuh ADUN PH, selain tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), kerajaan pimpinan Hajiji memiliki kekuatan 58 kerusi daripada 79 jumlah keseluruhan kerusi ketika ini termasuk enam ADUN Dilantik.
Baki kerusi iaitu 19 kerusi dikuasai Parti Warisan (WARISAN), selain satu kerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) iaitu Segama dan satu kerusi ADUN Dilantik milik PAS.