Sabtu, 10 Disember 2022 | 11:41pm
Hajiji (duduk empat, kanan) yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, ketua-ketua bahagian dan ketua sayap-sayap (Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu BERSATU. - Foto hiasan BERNAMA
Hajiji (duduk empat, kanan) yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, ketua-ketua bahagian dan ketua sayap-sayap (Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu BERSATU. - Foto hiasan BERNAMA

Bekas pemimpin BERSATU Sabah tak kenang budi - Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR: Sayap pemuda BERSATU kesal dan kecewa dengan tindakan beberapa pemimpin BERSATU Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Hajiji Noor keluar parti.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata perbuatan itu tidak mengenang budi pengorbanan yang dicurahkan pemimpin, termasuk jentera parti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, tindakan Hajiji dan pemimpin yang lain membuktikan mereka tidak serius menyanjung prinsip perjuangan sewaktu berkhidmat dalam parti.

"Hari ini kita digemparkan dengan berita Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen BERSATU Sabah keluar daripada parti BERSATU secara beramai-ramai.

"Tindakan bekas Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji yang mengepalai gerakan ini hanyalah semata-mata mahu kekal dalam koridor kuasa negeri Sabah. Tidak lagi memikirkan tentang prinsip-prinsip perjuangan yang pernah dilaungkan dahulu.

"Kekesalan dan kekecewaan ARMADA BERSATU ini lebih terasa apabila mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera ARMADA BERSATU dan pemuda Perikatan Nasional (PN) yang bertungkus lumus memenangkan PN pada PRN Sabah yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda PN itu turut mempersoal sikap Hajiji yang tidak memikirkan pengorbanan dan kesungguhan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU merangkap Pengerusi PN.

Katanya, ini termasuk kerja keras Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang membantu Hajiji untuk memenangi PRN Sabah dan seterusnya mengangkat ADUN Sulaman itu sebagai Ketua Menteri Sabah.

Wan Ahmad Fayhsal juga menegur kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun yang mengaitkan PN sebagai parti yang mempromosi politik Islam melampau.

"Datuk Seri Masidi Manjun sebagai seorang tokoh dan pemimpin yang beragama Islam disarankan untuk merujuk semula kepada Fasal 6 dalam Perlembagaan BERSATU dan Fasal 5 dalam Perlembagaan PN.

"Jelas sekali tujuan BERSATU dan PN ditubuhkan, sama sekali tidak akan bertindak untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.

"Kami yakin masih ada sahabat-sahabat seperjuangan ARMADA di Sabah yang kekal setia bersama BERSATU. Terima kasih diucapkan. Kita akan bina semula BERSATU di Sabah," katanya.

Berita Harian X