PADANG SERAI: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak tetap berkempen secara berhemah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pasukannya tidak akan membuat serangan peribadi terhadap calon parti lain kerana mereka perlu menjadi contoh selepas PH menjadi gabungan kerajaan Persekutuan.
"PH sebagai sebuah kerajaan, kami tidak menghentam tetapi saya lihat pihak sana masih lagi permainkan isu perkauman dan agama. Mereka juga masih hentam perdana menteri. Pada saya, itu tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika ditemui di Taman Ria di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamad Sofee berkata menghormati pendirian calon BN, Datuk C Sivaraj yang enggan memberi laluan mudah kepadanya memenangi kerusi berkenaan.
"Kita tetap mengharapkan agar BN kompromi kerana kerusi yang disandang PH sejak tiga penggal berturut-turut diharap kekal milik kita.
"Sebab kalau ikutkan sekarang ini, kita dah satu kerajaan. Saya yang diamanahkan kepada kemenangan ini. Kita akan bersaing secara sihat kerana manfaatnya kepada rakyat dan negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Sofee berharap keputusan kerajaan negeri untuk tidak memberikan cuti khas pada 7 Disember depan tidak menghalang kehadiran pengundi.
Sofee berkata, semua parti yang bertanding perlu bekerja keras bagi memastikan pengundi keluar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi Parlimen Padang Serai kepada 7 Disember depan, berikutan kematian calon PH, M Karupaiya (PKR) pada 16 November, iaitu tiga hari sebelum PRU15.
Selain Mohamad Sofee dan Sivaraj, kerusi itu ditandingi empat lagi calon termasuk Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), dan Sreanandha Rao (Bebas).