KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok, bagi menyelamatkan UMNO daripada percubaan untuk diharamkan, buat kali kedua.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selepas BERSATU membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, satu langkah utama yang diambil Pengerusinya ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah cuba mengharamkan UMNO.
Tindakan itu, dakwanya, dilakukan bagi menghapuskan pengaruh akar umbi dan kedudukan parti berteraskan Melayu itu supaya BERSATU boleh mengambil peranan serta menguasai undi Melayu.
"Selamatkanlah UMNO daripada cubaan untuk diharamkan. Satu undi kepada Muhyiddin Yassin dan Mahathir serta sekutu mereka, adalah satu undi untuk percubaan mengharamkan UMNO selepas pilihan raya ini.
"Ingatlah! Muhyiddin kata, UMNO akan dihanyutkan di dalam Sungai Muar. Jangan biarkan UMNO terus diperlekeh dan kita berdiam diri.
"Selagi watak itu berada di PN (Perikatan Nasional) dan GTA (Gerakan Tanah Air), juga di PH (Pakatan Harapan), selagi itulah UMNO dalam bahaya besar.
"Selamatkanlah UMNO. Undilah BN demi mempertahan maruah dan harga diri UMNO daripada diaibkan, diperkotak-katik dan diperlekeh oleh musuh BN!" kata beliau dalam media sosial, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, mendakwa beliau sendiri pernah diminta oleh Dr Mahathir supaya membubarkan UMNO dan membawa semua Ahli Parlimen serta ahli parti itu menyertai BERSATU.
Muhyiddin juga, dakwa beliau amat berdendam dengan UMNO.
"Apabila saya menolak dan tidak mahu memenuhi permintaan itu, saya terus dikenakan pendakwaan terpilih.
"Saya juga diaibkan, diperlekeh, malah dilabelkan sebagai kluster mahkamah secara berulang-ulang dan diberikan persepsi itu selama bertahun-tahun. Malah, ada yang menggunakan tuduhan jelik itu, bukan saja untuk memburukkan nama saya, malah memburukkan nama UMNO.
"Apabila saya didapati tidak bersalah atas 40 pertuduhan dalam kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi, tidak pula mereka yang melabel ini meminta maaf kepada saya. Malah, ada yang busuk hati dan perangai, terus cuba mengaibkan saya sekeluarga dan kerjaya politik saya," katanya.
Beliau turut mempersoalkan, sebab Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut berdepan kes mahkamah, tidak dilabelkan sebagai kluster mahkamah.
"Memang harga memperjuang dan mempertahan UMNO sangat tinggi untuk ditanggung saya sekeluarga.
"Akan tetapi demi maruah dan harga diri UMNO, maka marilah kita seluruh ahli dan pendukung BN menegakkan kebenaran menuju sebuah negara hukum yang berdaulat.
"Pastikan sistem negara yang adil dan tidak ada pendakwaan terpilih berlaku lagi," katanya.