Selasa, 15 November 2022 | 9:24pm
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Kauluan, Tamparuli, malam ini. NSTP/Johary Indan
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Kauluan, Tamparuli, malam ini. NSTP/Johary Indan

PRU15: Pembangkang tiada kuasa tuntut hak Sabah, selain GRS-BN

TAMPARULI (Tuaran): Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan perjuangan menuntut hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan sehingga mencapai kejayaan.

Calon GRS Parlimen Tuaran, Datuk Joniston Bangkuai, berkata setakat ini, usaha berterusan yang dilakukan kerajaan GRS-BN sudah membuahkan hasil apabila Kerajaan Persekutuan memberi sejumlah besar pemberian khas kepada Sabah.

"Daripada RM26 juta pemberian khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah sebelum ini, kini jumlah itu sudah ditambah menjadi RM125.6 juta.

"Semua itu adalah hasil perjuangan kerajaan GRS-BN yang tidak henti berunding dengan Kerajaan Persekutuan sejak mengambil alih kuasa pemerintahan di Sabah sejak dua tahun lalu," katanya berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Kauluan, di sini, malam ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Joniston menentang penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; calon WARISAN, Joanna Sue Henley Rampas; calon parti Pejuang, Muminin Kalingkong @ Norbinsha; serta dua calon Bebas, Noortaip Suhaili dan Boby Lewat.

Joniston berkata, pembangkang tidak boleh berbuat apa-apa dalam menuntut hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan, memandangkan mereka tidak mempunyai kuasa.

"Macam mana pembangkang hendak menuntut hak Sabah, sedangkan mereka hanyalah pembangkang," katanya.

Joniston berkata, ketika gabungan kerajaan WARISAN-UPKO berkuasa, mereka hanya menerima bulat-bulat pemberian khas Kerajaan Persekutuan bernilai RM26 juta kepada Sabah tanpa sebarang usaha mohon tambahan.

"Ini kerana kerajaan WARISAN-UPKO takut menuntut lebih daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata, Sabah tidak boleh lagi menerima jumlah yang kecil pemberian khas Kerajaan Persekutuan, memandangkan kos membangunkan negeri ini memerlukan perbelanjaan cukup besar.

Katanya, hasil perjuangan kerajaan GRS-BN juga, akhirnya hampir semua syarikat pengeluar minyak yang beroperasi di negeri ini bersetuju membayar cukai minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

"Tahun ini sahaja, kerajaan negeri dijangka memperoleh RM2 bilion hasil kutipan cukai minyak dan gas," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kewangan yang diperoleh kerajaan negeri itu, antara lainnya bakal digunakan untuk membiayai pembinaan 1,000 rumah rakyat miskin di Sabah.

Berita Harian X