Jumaat, 11 November 2022 | 7:18pm
Calon Barisan Nasional Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap kepada wartawan di Kampung Ijok. NSTP/Asyraf Hamzah
Calon Barisan Nasional Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap kepada wartawan di Kampung Ijok. NSTP/Asyraf Hamzah

PRU15: Pantau selepas banjir kilat surut - Tengku Zafrul

KUALA SELANGOR: Pemantauan di lokasi kerap dilanda banjir kilat di daerah ini akan diteruskan sepanjang masa meskipun keadaan banjir sudah kembali surut.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata beliau akan berusaha memanjangkan masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan itu kepada agensi berkaitan dan mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, banjir yang berlaku semalam tidak seteruk tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, langkah menangani masalah itu akan dilaksanakan bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Semalam ketika dalam perjalanan ke program bersama jentera, saya sempat singgah ke lokasi banjir kilat di kawasan Kuala Selangor untuk melihat sendiri situasi di sana.

"Kita turut menghubungi bomba serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memaklumkan keadaan semasa termasuk longkang tersumbat yang menyebabkan berlaku limpahan air dan banjir kilat.

"Seperti kita ketahui, hari ini, banjir sudah reda tetapi kita meneruskan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit," katanya pada sidang media di Kampung Ijok di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak keselamatan negara sudah bersiap siaga menghadapi banjir kilat di Lembah Klang, termasuk Kuala Selangor.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 211 mangsa banjir daripada 49 keluarga ditempatkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman, malam kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, SK Kampung Johan Setia merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 147 mangsa dari 32 keluarga, manakala PPS SK Sungai Binjai, Meru pula merekodkan 32 mangsa dari tujuh keluarga dan PPS di Masjid Al Falah, Kampung Budiman menempatkan 32 mangsa dari 10 keluarga.

Berita Harian X