Rabu, 9 November 2022 | 11:40pm
CALON Parlimen Kota Melaka, Perikatan Nasional (PN) Suhaime Borhan (kiri), Pakatan Harapan (PH) Khoo Poay Tiong (tengah) dan Barisan Nasional (BN) Kon Qi Yao bertegur sapa ketika bertemu di Pasar Malam Semabok, Melaka, petang tadi. NSTP/Nuraliawati Sabri
CALON Parlimen Kota Melaka, Perikatan Nasional (PN) Suhaime Borhan (kiri), Pakatan Harapan (PH) Khoo Poay Tiong (tengah) dan Barisan Nasional (BN) Kon Qi Yao bertegur sapa ketika bertemu di Pasar Malam Semabok, Melaka, petang tadi. NSTP/Nuraliawati Sabri

Tiga calon Kota Melaka bertemu di pasar malam

MELAKA: Suasana di Pasar Malam Semabok, di sini, 'gamat' apabila tiga daripada empat calon Parlimen Kota Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bertemu ketika berkempen, di sini, lewat petang tadi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Khoo Poay Tiong, Barisan Nasional (BN) Kon Qi Yao, dan Perikatan Nasional (PN) Suhaime Borhan, bertembung ketika turun padang berjumpa peniaga dan pengunjung di situ, khususnya pengundi di Parlimen itu.

Meskipun berbeza fahaman politik, ketiga-tiga calon itu tidak kekok menyapa antara satu sama lain, selain sempat berbual ringkas.

Malah, ketika diminta untuk bergambar bersama, masing-masing terus bersetuju, jelas menunjukkan calon yang bertanding pada PRU15 mengamalkan politik matang dan saling hormat-menghormati.

Ketiga-tiga mereka kemudian meneruskan walkabout selain mengedarkan risalah parti kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Ketika berkempen, Qi Yao sempat menunjukkan bakat membakar sate dan nyata gelagatnya itu mencuri tumpuan pengunjung.

Parlimen Kota Melaka menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Poay Tiong, Qi Yao, Datuk Dr Norazlan (Bebas) dan Suhaime.

Pada PRU 14, Khoo Poay Tiong menang dengan majoriti 49, 175 menewaskan calon BN Eric Choo Wei Sern.


Suara Kita

Berita Harian X