KANGAR: Memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini, calon dilihat terus `berlumba-lumba' untuk singgah di lokasi tumpuan ramai bagi bertemu penduduk dan menyampaikan manifesto.
Ada ketika kempen sesebuah parti bertembung dengan jentera parti lain di tempat sama.
Itulah yang berlaku hari ini apabila jentera kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya bertembung dengan jentera kempen calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Nur Sulaiman Zulkapli di Pasar Malam Bintong, di sini, pada waktu sama.
Bagaimanapun, kedua-dua tokoh politik muda yang cukup dikenali dengan latar belakang pendidikan agama Islam itu begitu mendukung prinsip politik yang matang apabila dilihat sempat bermesra dan merakam gambar sesama mereka sambil bertukar risalah profil diri masing-masing.
Fathul Bari berkata, kempen yang berlangsung dalam suasana cukup harmoni dengan calon dari parti lain juga akan berada di setiap kawasan Kangar ini.
"Kita boleh lihat sepanjang tempoh lima hari kempen ini, suasananya berlangsung dalam keadaan cukup tenang tanpa sebarang provokasi calon bertanding.
"Malah, apabila bertemu sesama calon, kami akan bertegur sapa dan berbual-bual," katanya ketika ditemui di Pasar Malam Bintong, di sini hari ini.
Sementara itu, Nur Sulaiman pula berkata, kempen partinya kini berjalan lancar dan mereka mahu bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan Parlimen Kangar ini.
Kerusi Parlimen Kangar bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan PEJUANG.
Penyandang kerusi itu, Noor Amin Ahmad (PH) bakal dicabar empat calon lain iaitu Fathul Bari, Zakri Hassan (PN), Rohimi Shapiee (WARISAN) dan Nur Sulaiman.