TANGKAK: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, yakin parti itu memiliki kelebihan untuk mengekalkan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, keyakinan bersandarkan gerak kerja jentera PH sepanjang empat hari tempoh berkempen, setakat ini.
"Sambutan setakat hari keempat kempen hari ini, amat baik. Saya pergi ke kopitiam, di kawasan bandar. Memang ramai dalam kalangan bukan Melayu menyatakan sokongan mereka kepada kami (PH).
"Ketika bertemu di masjid, surau atau di warung makan, semua memberitahu supaya saya meneruskan khidmat kerana mereka percaya saya sudah melakukan yang terbaik dan masih diperlukan di Ledang," katanya ketika ditemui pada program tinjauan mesra di Pusat Jaja Taman Tangkak Jaya di sini.
Program itu turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan siri jelajahnya di Johor, hari ini.
Ditanya sama ada beliau berdepan kesukaran memandangkan pencabarnya iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hamim Samuri pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan selama tiga penggal, Syed Ibrahim berkata, rakyat lebih bijak menilai.
"Saya rasa semua calon ada peluang. Tetapi saya percaya rakyat di bawah tahu mengenai Hamim, atau pun mengenai saya.
"Hamim memang ada pengalaman tetapi dari segi rekod perkhidmatan, saya rasa itu kurang. Oleh itu, saya nampak sokongan yang diberi nanti, bukan hanya orang Melayu, malah daripada orang Cina dan India.
"Di situ dah nampak kelebihan daripada sokongan orang bukan Melayu kepada kami dan saya rasa itu akan menjadi kelebihan buat saya," katanya.
Pada PRU15, Syed Ibrahim akan mempertahan kerusi Parlimen Ledang dalam saingan enam penjuru membabitkan Hamim, Zaidi Majid (Perikatan Nasional), Rafidah Ridwan (PEJUANG) dan dua calon Bebas, iaitu Zainal Bahrom dan seorang lagi dikenali sebagai Cikgu Yunus berdasarkan senarai yang dipaparkan dalam laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Ibrahim menewaskan Hamim yang juga penyandang kerusi berkenaan serta calon PAS, Rusman Kemin dengan majoriti 8,666 undi.