Khamis, 3 November 2022 | 11:08pm

PN Perak tak pernah bincang calon MB jika menang - Zainol Fadzi

IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak setakat ini tidak pernah membincangkan berkenaan calon Menteri Besar Perak sekiranya gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata sebaliknya fokus PN ketika ini adalah untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi.

"Kita tidak pernah membincangkan lagi soal itu (menamakan calon MB) tetapi saya yakin kepemimpinan akan membuat keputusan.

"Kita ada perancangan dari segi menifesto dan sebagainya. Selepas selesai saja urusan penamaan calon, akan ada proses atau pengumuman yang akan dibuat oleh kepemimpinan tertinggi PN di peringkat negeri sama ada mengenai Menteri Besar, manifesto dan sebagainya," katanya.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik itu berkata, paling penting, keseluruhan jentera PN daripada kerusi Parlimen dan DUN secara serentak digerakkan untuk pengenalan secara rasmi calon masing-masing hari ini.

"Sepatutnya sesi pengenalan dibuat pada 2 November tetapi ditangguhkan kerana tidak mendapat jumlah yang penuh (kehadiran calon).

"Semalam saya telah menghubungi kepemimpinan tertinggi dan mereka meminta kita mengeluarkan nama-nama yang dipersetujui di peringkat Pusat," katanya pada sidang media bagi pengumuman calon PN Perak di Pejabat PN Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, enam DUN kekal bertanding di kerusi yang disandang masing-masing termasuk Buntong.

"Dua kerusi DUN iaitu Tualang Sekah dan Chenderiang calon baharu, yang mana Semanggol, Selama, Kubu Gajah, Kuala kurau, Sungai Manik dan Buntong pula kekal," katanya.

Di samping itu, beliau berkata, calon digabungkan dengan pelbagai peringkat dan usia dengan calon paling muda berusia 25 tahun.

"Calon paling muda adalah dari DUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin.

"Kita juga mempunyai calon untuk DUN Lintang dari Exco Majlis Belia Negeri Perak, Ahmad Daslie Osman," katanya.

Sementara itu, beliau hari ini mengumumkan senarai lengkap calon PN Perak yang bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertanding di 74 kerusi, PAS (64), Gerakan (20) dan kumpulan bersekutu bertanding di 11 kerusi.

Bagi kerusi DUN di Pahang, Perak dan Perlis, PAS akan bertanding di 57 kerusi, BERSATU (41), GERAKAN (14) dan kumpulan bersekutu empat kerusi.

Sidang media Pengumuman Calon PN Perak oleh Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (dua kiri) pada majlis Pengumuman Calon PN Perak di Ipoh. NSTP/L Manimaran
Sidang media Pengumuman Calon PN Perak oleh Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (dua kiri) pada majlis Pengumuman Calon PN Perak di Ipoh. NSTP/L Manimaran
Berita Harian X