Khamis, 3 November 2022 | 12:33am
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan. - Foto Bernama
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan. - Foto Bernama

PAS tidak letak calon di Sabah

KOTA KINABALU: PAS Sabah membuat ketetapan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas Perhubungan PAS Negeri Sabah (PPNS), malam ini.

Sehubungan itu, katanya, PAS Sabah membuat keputusan menyokong semua calon yang mewakili parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

"Hasil perbincangan dengan kepemimpinan utama PAS Pusat dan dipersetujui dalam mesyuarat khas PPNS pada malam ini, PAS Sabah mengambil beberapa keputusan penting.

"Pertama, PAS Sabah tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRU15 di Sabah.

"Kedua, semua ahli dan penyokong PAS diarahkan membantu serta mengundi semua calon yang mewakili parti GRS-BN sebagai tanda mendokong prinsip penyatuan nasional yang digagaskan oleh PAS," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Dilantik, berkata PAS akan menyelaras jentera bagi membantu secara menyeluruh GRS-BN di peringkat negeri dan kawasan.

PAS buat pertama kali mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan pelantikan Aliakbar sebagai ADUN Dilantik sejak 2020.

Pelantikan itu adalah atas kapasiti PAS sebagai rakan komponen Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menjadi sebahagian daripada GRS.

PAS bagaimanapun tidak dimasukkan sebagai komponen GRS, namun dianggap parti mesra kerajaan negeri di bawah GRS-BN pimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Berita Harian X