Selasa, 1 November 2022 | 7:20pm

Ahmad Faizal pasang papan iklan besar

IPOH: Kempen bagi kerusi Parlimen Tambun semakin hangat menjelang hari penamaan calon Sabtu ini, bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memasang papan iklan berbunyi "Never Lost in Tambun" (Tidak Pernah Kalah di Tambun), hampir menyamai nama pusat riadah berbayar di sini.

Papan iklan itu memaparkan wajah Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU dan dipasang pada jejambat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Jalan Tambun.

Parlimen Tambun menjadi kawasan 'panas' selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan akan bertanding di situ pada PRU-15.

Anwar mengumumkan bertanding di kerusi Tambun di samping turut menegaskan Perak, kini menjadi negeri tumpuan PH bagi mendirikan koridor harapan, selepas menawan Pulau Pinang dan Selangor.

Ahmad Faizal menjawat Menteri Besar Perak bermula pada Mei 2018, selepas PRU-14, sebelum 'dijatuhkan' melalui usul undi tidak percaya.

Kerusi Parlimen Tambun disandang Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR pada PRU-14, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, dengan majoriti 5,320 undi.

Anwar juga calon Perdana Menteri jika PH menang PRU15 dan menawan kerusi Tambun. - Foto NSTP
Anwar juga calon Perdana Menteri jika PH menang PRU15 dan menawan kerusi Tambun. - Foto NSTP

Papan iklan besar memaparkan wajah Ahmad Faizal di Jalan Tambun. - Foto NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Papan iklan besar memaparkan wajah Ahmad Faizal di Jalan Tambun. - Foto NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Berita Harian X