Isnin, 20 Jun 2022 | 2:33pm
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.

PAS Kedah tolak 'khemah besar', kekal sokong penyatuan ummah

ALOR SETAR: PAS Kedah menolak sebarang usaha melaksanakan 'khemah besar' dalam kalangan parti politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya kekal menyokong gagasan penyatuan ummah.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yahaya, berkata rakyat sedar bahawa berlaku penipuan dan kerakusan dibuat kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pemerintahan negara selama 22 bulan selepas PRU Ke-14 lalu.

Jelasnya, berikutan itu agenda menyatukan semua kumpulan berteraskan ikatan Melayu-Islam perlu dilakukan pada PRU-15 tanpa melupakan semangat kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.

"PAS Kedah menyatakan sokongan terhadap gagasan penyatuan ummah sebagai strategi ampuh mendepani cabaran PRU Ke-15 akan datang. Pendirian ini selaras kenyataan dibuat kepemimpinan tertinggi PAS yang meletakkan keutamaan agenda menyatukan kesemua kumpulan berteraskan ikatan Melayu-Islam, di samping tidak melupakan kepelbagaian kaum di negara ini.

PAS Kedah menolak sebarang usaha melaksanakan ‘khemah besar’ dalam kalangan parti politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15. - Foto hiasan NSTP
PAS Kedah menolak sebarang usaha melaksanakan ‘khemah besar’ dalam kalangan parti politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15. - Foto hiasan NSTP

"PAS percaya prinsip penyatuan ummah adalah ramuan utama kerangka politik Islam sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran dan diterapkan dalam kerangka Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Bahkan ia juga adalah asas yang meletakkan kepentingan Islam sebagai keutamaan sesuai dengan identiti Malaysia yang dijelaskan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan, gagasan penyatuan ummah juga dilihat mampu mentadbir negara secara baik dan wajar terus diteruskan.

"Rakyat kini sedar penipuan dan kerakusan yang dibuat kepimpinan PH yang mengambil alih pemerintahan selama 22 bulan sejak berakhirnya PRU-14 lalu. Kesedaran terhadap kebangkitan ummah ini memberikan ruang kepada PAS dan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) untuk menyelamatkan negara daripada terus diseleweng.

"Oleh itu, gagasan penyatuan ummah yang menjadi teras kestabilan politik pada era pascapandemik ini perlu diteruskan, sekali gus menolak 'khemah besar'. PAS yakin prinsip penyatuan ummah ini akan terus memacu pentadbiran yang cemerlang di peringkat Persekutuan dan di Kedah," katanya.

Berita Harian X