Rabu, 15 Jun 2022 | 8:37pm
Suppayah mendakwa permintaan untuk mengira semula kertas undi di beberapa pusat ditolak. - Foto hiasan BERNAMA
Suppayah mendakwa permintaan untuk mengira semula kertas undi di beberapa pusat ditolak. - Foto hiasan BERNAMA

Mahkamah sahkan kemenangan ADUN Bukit Batu

JOHOR BAHRU: Mahkamah pilihan raya pada hari ini memutuskan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) DUN Bukit Batu Mac lalu, sah.

PKR dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat Hakim Azizul Azmi Adnan yang menolak petisyen pilihan raya daripada calon Barisan Nasional (BN), S Suppayah.

Beliau berkata, mahkamah pilihan raya di Putrajaya memerintahkan Suppayah membayar kos sebanyak RM30,000 kepada responden pertama, iaitu Sen Sern dan seterusnya RM30,000 kepada responden kedua dan responden ketiga, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Arthur Chiong Sen Sern. - Foto ihsan PKR
Arthur Chiong Sen Sern. - Foto ihsan PKR

"Alasan-alasan penghakiman yang lebih terperinci akan dimuat naik oleh pihak mahkamah pilihan raya menerusi lama sesawang rasmi kehakiman, dalam masa terdekat," katanya.

Peguam G Manivanan, Adi Zulkarnian Zulkafli, Lau Yi Leong, Adly Zulfadhly Zulkefly dan Tan Wye Nye mewakili Sen Sern, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dan Sallehuddin Md Ali mewakili SPR.

Rajasekaran Thiyagarajan pula mewakili Suppayah.

Sen Sern menang kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi pada PRN Johor yang berlangsung pada 12 Mac lalu.

Setiausaha PKR Cabang Tebrau itu menewaskan Suppayah, Tan Heng Choon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Lee Ming Wen daripada Parti WARISAN.

Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.

Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.

Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.

Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemuka petisyen pilihan raya.

Berita Harian X