Jumaat, 10 Jun 2022 | 6:38pm
JPP 2022 PKR memerlukan sedikit masa lagi bagi memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan di Kongres Nasional 2022. - Foto NSTP
JPP 2022 PKR memerlukan sedikit masa lagi bagi memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan di Kongres Nasional 2022. - Foto NSTP

Perlu lebih masa audit forensik pemilihan parti - JPP PKR

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Parti 2022 (JPP 2022) PKR memerlukan sedikit masa bagi memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan di Kongres Nasional 2022.

Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata ini kerana keputusan tidak rasmi bagi peringkat cabang dan pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diumumkan pada 29 Mei lalu masih dalam proses penelitian.

Beliau berkata, Panel Aduan Pemilihan Keadilan 2022 akan terus meneliti aduan yang diberikan oleh anggota parti melalui saluran rasmi JPP 2022.

"Panel Aduan JPP 2022 juga mencadangkan beberapa cadangan tindakan yang mungkin boleh mengubah keputusan tidak rasmi itu.

"Justeru, JPP 2022 bersetuju mendapatkan khidmat pakar digital untuk melaksanakan audit secara menyeluruh terhadap sistem yang dibangunkan. Mereka (pakar) kini sedang bertungkus-lumus untuk memenuhi garis masa yang sudah ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

PKR memaklumkan penangguhan Kongres Nasional PKR yang dijadualkan pada 24 dan 25 Jun kepada 15 hingga 17 Julai depan bagi memberi ruang audit forensik terhadap bantahan dan aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti.

Perkara itu disahkan oleh Ahli MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang dilaporkan berkata, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat MPP semalam.

Zaliha berkata, senarai pemenang Pemilihan PKR 2022 di peringkat pimpinan cabang, Wanita cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang serta di peringkat Pusat yang sudah dimuktamadkan perlu diserahkan kepada pejabat Setiausaha Agung parti.

Langkah itu, katanya, bagi tujuan memuktamadkan perwakilan yang akan hadir ke Kongres Nasional.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JPP 2022 berpuashati dengan kemajuan kerja Juruaudit Pakar Digital yang dilantik.

"JPP yakin dapatan yang akan dikemukakan kelak akan dapat memberi penjelasan kepada persoalan serta kecelaruan pemahaman yang timbul dan ditimbulkan oleh pengadu.

"Fasa pemilihan parti kini di peringkat kedua apabila selesai dengan senarai muktamad bagi calon Ahli MPP, Ahli Majlis Pimpinan AMK dan Wanita Pusat yang akan dipilih ketika Kongres Nasional Keadilan kelak.

"JPP 2022 tetap berpegang kepada konsep ketelusan, integriti, adil dan profesional dalam proses Pemilihan PKR 2022 ini," katanya.

Berita Harian X