Ahad, 5 Jun 2022 | 3:26pm
(Foto hiasan) Ahli mengundi pada Pemilihan PKR 2022, baru-baru ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
(Foto hiasan) Ahli mengundi pada Pemilihan PKR 2022, baru-baru ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

Pemilihan PKR 2022: JPP pertimbang laksanakan audit forensik

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR sedang mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan audit forensik berhubung undian dalam talian bagi pemilihan tahun ini.

Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa mengaku berdasarkan aduan diterima, ada yang memohon supaya audit forensik dilaksanakan dan perkara itu sedang diteliti.

Buat masa ini, beliau berkata, JPP sedang memfokus kepada siasatan awal berhubung undi ragu dan aduan dibangkitkan di cabang, serta melihat kepada kemenangan membabitkan majoriti tipis di cabang.

"Bagi JPP, kita tidak ada masalah untuk membuat siasatan (audit forensik) itu dalam sistem pemilihan kerana ia akan memberikan keputusan yang betul-betul jelas. Kita masih mempertimbangkan perkara itu," katanya kepada BH.

Beliau mengulas dakwaan calon jawatan Naib Presiden, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bahawa lebih 25,000 undi hilang dalam Pemilihan PKR 2022, baru-baru ini.

Farhash mendakwa seramai 147,000 ahli PKR mengundi calon Timbalan Presiden, namun undi diperoleh Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hanya berjumlah 119,030.

Namun Ketua Biro Undang-undang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Chiew Choon Man, dilapor menafikan dakwaan Farhash serta memaklumkan bahawa ahli PKR tidak diwajibkan mengundi setiap jawatan dalam pemilihan itu.

Dr Zaliha menegaskan bahawa daripada aduan diterima, ada kewajaran untuk audit forensik dijalankan.

"Bagi memastikan perkara itu, maka kita menjalankan audit dalaman dulu supaya kita buat dengan teliti sebelum audit forensik dilakukan.

"Biar kita menyelesaikan dulu isu undi ragu dan permintaan cabang serta calon untuk kiraan semula, termasuk kes yang kalah dengan satu undi. Dalam sehari dua ini akan selesai," katanya.

Selain itu, beliau berkata, JPP kini memberi tumpuan kepada pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) Pusat dan Ahli Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP).

"Senarai penuh pencalonan itu akan siap pada 7 Jun ini," katanya.

Berita Harian X