Sabtu, 28 Mei 2022 | 5:58pm
Tengku Razaleigh Hamzah beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Aidilfitri ADUN Galas di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan, semalam. STR/Paya Linda Yahya
Tengku Razaleigh Hamzah beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Aidilfitri ADUN Galas di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan, semalam. STR/Paya Linda Yahya

Ku Li masih berteka-teki

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah masih berteka-teki sama ada ingin menjadi calon atau menarik diri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Beliau mengakui ramai pemimpin muda berpotensi menjadi pelapis pada masa hadapan.

Katanya, tidak kira calon muda atau veteran, semua berpeluang untuk menang pada PRU-15 jika menjadi pilihan rakyat.

"Veteran atau muda bukan soalnya, tetapi ia mengenai boleh menang atau tak boleh menang.

"Kalau taruhan orang baharu, ada masalah integriti atau macam-macam syarat tidak memenuhi kehendak rakyat, sehingga dia tak boleh menang nak buat apa?

"Bertanding nak menang, jika letak 100 calon dan 100 kalah, hilang deposit lagi. Macam parti-parti yang bertanding di Johor bukan sahaja kalah dengan teruk, malah hilang deposit," katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Galas (DUN) Galas di Bandar Utama, di sini, semalam.

Tengku Razaleigh berkata, segala keputusan diserahkan kepada ahli-ahli dan parti.

"Saya sendiri pun dah teruk kena pakai enjin tiga silinder," katanya berseloroh.

Untuk rekod, Tengku Razaleigh adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, 85, mempertahankan kerusi itu yang kali pertama dimenanginya tanpa bertanding pada 1974. Kerusi itu sebelum ini dikenali sebagai Ulu Kelantan.

Berita Harian X