Rabu, 25 Mei 2022 | 4:10pm
Penganalisis jangka akan ada satu parti Melayu dominan selepas PRU-15, di antara UMNO dan BERSATU.
Penganalisis jangka akan ada satu parti Melayu dominan selepas PRU-15, di antara UMNO dan BERSATU.

Satu parti Melayu dominan dijangka muncul semula selepas PRU-15

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka menyaksikan kemunculan semula satu parti Melayu yang dominan untuk mentadbir dan menerajui politik Melayu di negara ini.

Profesor Pengajian Asia dan Pengarah Asia Institute, University Tasmania, Australia, Prof Dr James Chin, berpandangan keputusan bagi undi Melayu terutama di luar bandar tidak akan lagi berpecah seperti yang berlaku pada PRU-14.

"Jika pada PRU lalu, undi berpecah di antara UMNO, PAS dan BERSATU, namun pada PRU-15, saya jangka perkara itu tidak akan berlaku.

"Saya jangka akan ada satu parti Melayu yang dominan selepas PRU-15, di antara UMNO dan BERSATU. Salah satu daripada parti ini akan menang besar dan satu lagi akan kalah teruk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Wacana Intelektual Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk "Malaysia di Persimpangan: Apa Yang Ada Untuk PRU-15?" di sini, hari ini.

Panel lain ialah Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu (TSEJRC), Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof Datuk Dr Jayum Jawan, manakala Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia UPM, Dr Zatul Himmah Adnan bertindak sebagai moderator.

James berkata, terdapat pihak optimis yang UMNO akan menunjukkan prestasi baik pada PRU-15, namun persoalan yang timbul adalah sama ada mereka mampu mencapai majoriti dua pertiga seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Bagi PAS, isunya bukan berapa kerusi yang akan mereka menangi tetapi sama ada mereka akan dapat peratusan undi Melayu yang sama seperti sebelum ini. Kita akan melihat hasil pengukuhan jentera PAS dalam tempoh dua tahun selepas mereka berada dalam kerajaan.

"Selain itu, wujud juga persoalan besar mengenai sama ada BERSATU dan PEJUANG mampu bertahan pada PRU-15. Di Malaysia, jika anda tidak ada wakil di Parlimen, amat sukar untuk anda bertahan di luar sistem Parlimen," katanya.

Bagi Pakatan Harapan (PH), beliau berpendapat, PKR perlu bekerja lebih keras kerana tinjauan terbaharu menunjukkan sokongan pengundi bandar kepada mereka mungkin menurun.

Katanya lagi, DAP juga mungkin berdepan isu sama kerana pengundi Cina dikatakan marah selepas sebahagian janji yang dibuat pada PRU-14 tidak dipenuhi.

Sementara itu, Jayum berpandangan, Sarawak akan memainkan peranan penting dalam menentukan parti politik Melayu yang mana dari Semenanjung akan memenangi PRU-15 dan wakilnya menjadi Perdana Menteri, berdasarkan 31 kerusi Parlimen di negeri itu.

Beliau gembira melihat Malaysia memasuki fasa politik baharu pada PRU-14, yang mana tiada satu parti pun yang dominan, menyebabkan parti yang menang berusaha untuk memenuhi kehendak semua pihak termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sebelum 2018, ada satu parti atau gabungan parti yang dominan. Ia bukanlah sesuatu yang tidak baik, cuma kita lihat ia boleh membawa kepada kepemimpinan yang sombong dan tidak mendengar suara rakyat kerana mempunyai majoriti yang cukup.

"Malaysia adalah negara berbilang etnik dan kepemimpinan Melayu mesti mendengar suara semua," katanya.

Berita Harian X