Isnin, 23 Mei 2022 | 4:13pm
FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA

Pemilihan PKR 2022: 8 cabang undi semula sebelum akhir Mei

KUALA LUMPUR: Pengundian fizikal semula Pemilihan PKR 2022 bagi lapan cabang di empat negeri akan dilaksanakan sebelum akhir bulan ini, dan keputusan tidak rasmi pemilihan parti hanya diketahui selepas proses pengundian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya bagaimanapun belum memuktamadkan tarikh bagi pengundian semula di lapan cabang berkenaan yang membabitkan Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan; Dungun (Terengganu); Hulu Selangor (Selangor); dan Padang Serai (Kedah).

Beliau berkata, pengundian semula itu perlu diadakan susulan beberapa masalah, termasuk masalah teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

"Kita juga menerima bantahan di beberapa cabang, dan JPP sedang membincangkan serta menilai semua bantahan berkenaan.

"Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan juga secara serentak dengan pengundian lapan cabang terbabit," katanya kepada Bernama, hari ini.

Justeru, beliau berkata, keputusan tidak rasmi pemilihan parti yang dijadualkan untuk paparan dalam laman web rasmi PKR, hari ini, terpaksa ditangguhkan, dan ia hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian semula cabang berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan lima cabang di Kelantan, Dungun dan Padang Serai mengalami masalah teknikal ketika pengundian fizikal, manakala cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan peralatan logistik seperti kerusi dan meja tidak disediakan.

Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan, sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan PKR 2022.

Katanya, sebanyak 12.22 peratus atau 136,629 ahli PKR telah mengundi dalam pemilihan parti kali ini, setakat semalam, termasuk 76,932 mengundi secara dalam talian sejak 18 hingga 20 Mei lalu.

Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan 11,282 calon merebut pelbagai jawatan pada peringkat pusat, cabang dan sayapnya.

Pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (MPAMK) Pusat dan Ahli Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP) dijadualkan pada 28 Mei depan.

Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala Ketua Wanita dan Ketua AMK pula akan diumumkan pada 24 Jun sempena kongres tahunan masing-masing. – BERNAMA

Berita Harian X