Isnin, 16 Mei 2022 | 6:37pm

BERSATU Terengganu 'intai' 10 kerusi DUN UMNO

MARANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri mengumumkan untuk meletakkan calonnya di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya juga akan meletakkan calonnya bertanding di kerusi Parlimen Besut, selain mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Beliau berkata, PAS melalui perbincangan pengagihan kerusi sudah bersetuju menyerahkan 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen dikuasai BN kepada BERSATU untuk meletakkan calon.

"Kita sudah menyerahkan senarai calon untuk bertanding di 10 kerusi DUN kepada Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dianalisis.

"Kita menyerahkan senarai tiga calon bagi setiap kawasan DUN kepada Muhyiddin untuk dimuktamadkan," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU bahagian Marang di Kampung Rhu Muda, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam PRU-14 lalu, BN memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN iaitu Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua BERSATU Bahagian Marang berkata, senarai calon diserahkan untuk bertanding di 10 kerusi DUN terbabit adalah berintigeriti, bebas daripada jenayah serta diterima rakyat.

Katanya, senarai calon daripada BERSATU itu juga diserahkan kepada pimpinan PAS negeri untuk dianalisis.

Mengenai pengumuman nama Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat yang akan bertanding mewakili UMNO di kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Razali berkata pihak tidak mahu mencampuri urusan parti itu, namun mengakui ia berlaku di luar peraturan parti.

"Mengikut peraturan, calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen akan ditentukan Presiden dan bukannya Pengerusi UMNO negeri," katanya.

Razali (tengah) beramah mesra bersama hadirin ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU bahagian Marang di Kampung Rhu Muda, hari ini. - NSTP / BAHAROM BAKAR
Razali (tengah) beramah mesra bersama hadirin ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU bahagian Marang di Kampung Rhu Muda, hari ini. - NSTP / BAHAROM BAKAR
Berita Harian X