Isnin, 9 Mei 2022 | 6:25pm
Larry Sng (dari kiri), Redzuan dan Gobind Singh pada Persidangan RUU Antilompat Parti di Wisma Majlis Peguam, Kuala Lumpur, hari ini.
Larry Sng (dari kiri), Redzuan dan Gobind Singh pada Persidangan RUU Antilompat Parti di Wisma Majlis Peguam, Kuala Lumpur, hari ini.

Pendapat ahli politik mengenai RUU Antilompat Parti, pilihan raya semula

KUALA LUMPUR:Tumpuan perlu diberikan kepada penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti sebelum RUU Pemecatan Ahli Parlimen digubal bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula atau 'recall election'.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, berkata langkah itu bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat dilaksanakan terlebih dulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Menggubal dua RUU dalam satu masa mungkin mengambil sedikit masa. Saya berpandangan adalah lebih baik tumpuan diberikan menggubal RUU Antilompat Parti sebelum kita gubal RUU berkaitan pilihan raya semula.

"Penggubalan undang-undang ini mesti dibahagikan kepada dua peringkat dengan terlebih dahulu menangani aktiviti lompat parti supaya ia jelas dan menjimatkan masa. Lakukan dalam dua peringkat.

"Mula-mula (gubal undang-undang) mengenai lompat parti yang 'jelas', kemudian kita lihat prosedur pilihan raya semula," katanya ketika menjadi ahli panel Persidangan RUU Antilompat Parti di Wisma Majlis Peguam, hari ini.

Persidangan sehari itu dianjurkan Majlis Peguam bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), turut disertai bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahli panel lain, Pengerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Md Yusof, manakala Pengerusi BERSIH, Thomas Fann bertindak sebagai moderator.

Gobind yang juga wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan RUU Antilompat Parti, berkata RUU berkenaan perlu diutamakan kerana ia membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) komited dan konsisten mahu RUU itu dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat, Jun nanti.

"Kita mahu ia dibentang akhir bulan ini, namun dengan garis masa yang ada, dicadangkan Jun supaya isu lompat parti dapat diselesaikan sebelum PRU-15. Sudah ada garis masa untuk gubal RUU Antilompat Parti dan pindaan Perlembagaan Persekutuan, maka kita tumpu kepada undang-undang ini.

"Cara terbaik pada saya, pilihan raya semula dimasukkan semuanya dalam RUU Antilompat Parti supaya hanya satu pindaan perlembagaan dapat dibuat Bagaimanapun, persoalannya ialah sama ada kita boleh melakukannya tepat pada masanya," katanya.

Beliau menegaskan prosedur pilihan raya perlu pindaan berkaitan proses pilihan raya itu sendiri yang turut membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 11 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No.3) 2022 diputuskan untuk dikaji dan diteliti semula melalui sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas.

Perkara itu diputuskan dengan suara majoriti selepas usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Jawatankuasa itu dianggotai 11 Ahli Parlimen yang mewakili parti dengan keahlian besar di Dewan Rakyat.

Wan Junaidi mempengerusikannya dengan anggota terdiri Azalina mewakili Barisan Nasional (BN), Gobind mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas); Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Perikatan Nasional (PN)-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Ahli lain, Lukanisman Awang Sauni (Gabung Parti Sarawak (GPS)-Sibuti); Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran); Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang).

Sementara itu, Azalina juga bersetuju RUU Antilompat Parti membabitkan individu yang menyertai parti lain atau meninggalkan gabungan perlu ditangani terlebih dahulu menjelang PRU-15.

Katanya, pilihan raya semula bagi memecat wakil rakyat atau 'recall election' bagi menghalang mereka yang lompat parti adalah satu mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat diberikan kepada wakil rakyat sekiranya melompat parti.

"Dengan ini, ia membolehkan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu untuk rakyat memilih wakil rakyat yang baharu," katanya.

Redzuan pula berpandangan, dalam memperkatakan isu RUU Antilompat Parti, kebebasan kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan pandangan dan pendapat di Dewan Rakyat perlu diambil kira.

Beliau bimbang kebebasan wakil rakyat akan disekat jika RUU Antilompat Parti nanti mendefinisikan 'lompat parti' termasuk tindakan Ahli Parlimen yang berbeza dengan keputusan parti bagi satu-satu isu di Dewan Rakyat.

"Ahli Parlimen perlukan kebebasan bersuara mewakili rakyat yang memilih mereka dan tidak sepatutnya terikat dengan keputusan dan pendirian parti semata-mata. Maka, perlu ada klausa yang menyentuh isu ini dan saya rharap RUU Antilompat Parti tidak menyekat kebebasan wakil rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Larry menegaskan, kerana budaya politik di Sarawak dan Sabah bergantung kepada sokongan komuniti.

"Sebagai contoh, di rumah panjang di Julau, jika seorang pemimpin komuniti sokong parti A, maka seluruh komuniti akan sokong parti A, begitulah sebaliknya. Jadi saya lihat pilihan raya semula ini tidak sesuai dipraktikkan di Sarawak dan Sabah yang pastinya akan meningkatkan kos pilihan raya semula," katanya.

Berita Harian X