Khamis, 5 Mei 2022 | 11:19pm

UMNO letak calon di semua kerusi Terengganu

JERTIH: UMNO negeri tidak akan bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan akan meletakkan calon bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad, berkata semua ahli jawatankuasa parti termasuk sayap di lapan bahagian, sependapat dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said, untuk tidak bergabung dengan mana-mana parti menghadapi PRU-15.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa parti peringkat negeri juga memutuskan tidak bergabung dengan PAS, BERSATU, AMANAH atau parti lain.

"UMNO serta BN sudah mengenal pasti calon berwibawa dan mampu diterima rakyat untuk dicalonkan bertanding di 32 kerusi DUN serta lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

"Kita sudah memutuskan untuk meletakkan calon di semua kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen," katanya pada program Jamuan Aidilfitri di sini, hari ini.

Yang turut hadir ADUN Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut mengesahkan pendirian UMNO negeri sudah dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, lima pemimpin tertinggi parti, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mengadakan perbincangan mengenai pendirian BN serta UMNO negeri.

"Kita juga sudah memutuskan untuk keluar daripada gabungan Maufakat Nasional (MN). Jadi, tiada keperluan untuk kita bincang mengenai pengagihan kerusi," katanya.

Mengulas dakwaan ada perbincangan kerjasama di antara Ahmad Said dengan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Azan Ismail, Nawi menafikan dakwaan itu.

Katanya, UMNO memutuskan mempertahan 10 kerusi DUN dimenangi BN dan merampas kembali 22 lagi kerusi pada PRU akan datang.

"Kita juga akan mempertahankan dua kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu, selain merampas enam lagi kerusi yang kini dikuasai PAS," katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertukar dokumen Piagam Muafakat Nasional dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil disaksikan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertukar dokumen Piagam Muafakat Nasional dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil disaksikan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

Tiada kerjasama di antara UMNO dan PAS di Terengganu. - Foto hiasan NSTP
Tiada kerjasama di antara UMNO dan PAS di Terengganu. - Foto hiasan NSTP
Berita Harian X