Ahad, 24 April 2022 | 10:33pm
Muhyiddin menyampaikan sumbangan pada Majlis Iftar BERSATU, hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS
Muhyiddin menyampaikan sumbangan pada Majlis Iftar BERSATU, hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS

BERSATU sedia berunding dengan mana-mana parti hadapi PRU15

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seolah-olah memberi bayangan parti itu bersedia menyertai agenda 'khemah besar' yang dibawa oleh blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerjasama antara parti penting bagi memastikan saingan satu lawan satu dengan BN pada PRU15, sekali gus mengelakkan perpecahan undi.

Katanya, BERSATU mengamalkan sikap terbuka untuk duduk berunding dengan mana-mana parti bagi mencari formula bersifat menang-menang dalam berdepan BN pada PRU15 nanti.

Tanpa menamakan mana-mana parti, beliau berkata, rundingan ke arah membentuk kerjasama itu sudah dibuat pada peringkat awal kini dan beliau melihat wujud petanda memberangsangkan.

Ketika ditanya sama ada kesediaan bekerjasama itu termasuk menyertai 'khemah besar', Muhyiddin tidak menjawab secara jelas, namun menyatakan pihaknya bersedia berunding dengan mana-mana parti sehaluan dengan BERSATU.

"Kita bersedia dan mengamalkan sikap terbuka untuk mewujudkan kerjasama pada pilihan raya kerana ia penting bagi mengelakkan perpecahan undi seperti yang kita saksikan berlaku di Melaka dan Johor (Pilihan Raya Negeri).

"Kita memang sudah mula tapi kita tak buat apa apa pengumuman, masih pada peringkat awal. Namun dalam pertemuan awal pun sudah ada petanda agak memberangsangkan.

"Mereka ada persediaan untuk berbincang, cuma kita belum selesai lagi mengenai cara bagaimana hendak membentuk persefahaman untuk mengelakkan pertembungan," katanya pada Majlis Iftar BERSATU, di sini hari ini.

Bawah PN setakat ini, BERSATU menjalinkan kerjasama dengan PAS, GERAKAN, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Media sebelum ini memetik Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan termasuk kepada BERSATU dan PAS, bagi merealisasikan 'khemah besar' dalam memastikan pembangkang ampuh menghadapi BN.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dilapor menegaskan isu kerjasama antara PH dengan PN tidak sepatutnya timbul dan dikaitkan dengan usaha menyatukan parti pembangkang menerusi agenda 'khemah besar'.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pemimpin parti lain diminta untuk turut mempunyai matlamat dan pemikiran bagi merealisasikan kerjasama politik demi membentuk sebuah kerajaan yang boleh menjamin masa depan negara yang lebih baik.

"Matlamat kita yang penting adalah untuk negara, maka saya fikir pimpinan parti lain seharusnya boleh berfikiran sama.

"Saya fikir mereka sudah menunjukkan reaksi yang agak positif, namun kita belum lagi perhalusi bagaimana cara jalinan kerjasama itu hendak dilaksanakan," katanya.

Berita Harian X