Ahad, 24 April 2022 | 2:00pm

'Kemah besar' tonjol kucar-kacir pembangkang

KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung rancangan mewujudkan 'khemah besar' hanya membuktikan situasi kucar-kacir dialami blok pembangkang.

Penganalisis politik percaya konsep 'khemah besar' antara PH bersama parti lain termasuk PAS dan BERSATU sukar untuk direalisasikan selagi mereka tidak boleh berkompromi antara satu sama lain.

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata selagi tiada persefahaman dalam konsep khemah besar itu, keadaan kucar-kacir akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Memang situasi ketika ini dilihat kucar-kacir dalam kalangan pembangkang tetapi selagi tiada perjumpaan yang rasmi antara mereka, selagi itu tiada kata putus ditentukan.

"Saya berpandangan jika keadaan ini berterusan, ia boleh menjurus kepada perpecahan dan bibitnya sudah kelihatan," katanya kepada BH, hari ini.

Awang Pawi berkata, perbezaan kenyataan dalam kalangan pemimpin pembangkang itu sekadar 'bahasa politik berbunga' untuk menunjukkan bahawa cadangan terbabit sukar untuk dilaksanakan.

Katanya, biarpun pemimpin bersetuju dengan cadangan terbabit, belum tentu akar umbi parti boleh menerima konsep berkenaan.

"Sebagai contoh, mana mungkin Parti Amanah Negara (AMANAH) boleh menerima PAS dan sebaliknya, mana mungkin PKR boleh menerima BERSATU selagi ada (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dan (Datuk) Zuraida (Kamaruddin)," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, berkata blok pembangkang ketika ini ibarat masih mencari identiti disebabkan kerjasama dalam kalangan mereka yang tidak kukuh.

Katanya, perkara itu dapat dilihat apabila mereka meraih kuasa pada 2018 dan hanya mampu bertahan selama 22 bulan sebelum tampuk pemerintahan negara bertukar.

"Jika kita lihat sebelum 2018, struktur politik negara lebih kepada sistem dua parti namun sebaik mendapat kuasa, sistem terbabit sedikit sebanyak kucar-kacir sehingga berlaku ketidakstabilan.

"Ini disebabkan kerjasama itu tidak konklusif dan apabila tidak konklusif, ia terdedah dengan pelbagai pandangan serta kenyataan dikeluarkan pemimpin seperti mana berlaku berhubung cadangan 'khemah besar' ini," katanya.

Rancangan mewujudkan 'khemah besar' dalam kalangan blok parti pembangkang kini hangat diperkatakan pemimpin utamanya terutama PH yang bermatlamat menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Biarpun belum diperincikan cadangan itu, wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan utama PH berhubung konsep gabungan itu apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata konsep dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson adalah kerjasama blok pembangkang tanpa membabitkan Perikatan Nasional (PN) diterajui BERSATU.

"DAP berpendirian bahawa isu kerjasama antara PH dan PN dalam PRU-15 tidak timbul kerana PN adalah sebahagian daripada blok kerajaan hari ini. Konsep 'khemah besar' yang dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang," katanya.

Pendirian Anthony itu senada pendapat Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, bahawa tidak timbul cadangan menarik penyertaan PN, apatah lagi PAS ke dalamnya.

Berita Harian X