Sabtu, 9 April 2022 | 5:46pm
Pembentangan RUU Antilompat Parti tidak akan dilakukan Isnin ini seperti jadual asal. - Foto hiasan BERNAMA
Pembentangan RUU Antilompat Parti tidak akan dilakukan Isnin ini seperti jadual asal. - Foto hiasan BERNAMA

Undang-undang akan stabilkan kerajaan baharu

KUALA LUMPUR: Keputusan tidak membentangkan Rang Undang-Undang AntiLompat Parti pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok, bagi memberi laluan kepada pindaan Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mencerminkan ketelitian kerajaan.

Beberapa pakar perlembagaan berpendapat, langkah memberi keutamaan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10, bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti, bukanlah bermaksud kerajaan bermain tarik tali.

Sebaliknya, langkah cermat dan berhemah yang diambil kerajaan menurut mereka bertujuan memastikan tidak berlaku percanggahan, dalam segala aspek perundangan negara pada masa hadapan dan berada dalam keadaan teratur.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menyentuh mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, berkata tindakan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan didorong oleh contoh kes yang berlaku di Kelantan pada 1992, apabila Mahkamah Agung memutuskan peruntukan AntiLompat Parti dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, dalam kes itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit menyertai persatuan lain, jadi Mahkamah Agung menyatakan seorang ADUN boleh meninggalkan partinya untuk bertukar kepada parti lain kerana mereka mempunyai hak kebebasan berpersatuan.

"Kalau menerima pakai keputusan kes itu, apa juga undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, akan dikatakan tidak sah.

"Kalau nak memperkenal Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang intipatinya akan menyebabkan seorang Ahli Parlimen hilang kerusinya, bermaksud mereka tidak mempunyai kebebasan berpersatuan," katanya di sini hari ini.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu juga berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat serta Dewan Negara, bagi bacaan kali kedua dan ketiga.

Beberapa pemimpin BERSATU ialah bekas Ahli Parlimen UMNO. - Foto hiasan
Beberapa pemimpin BERSATU ialah bekas Ahli Parlimen UMNO. - Foto hiasan

Senada dengan Shamrahayu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata pindaan dengan memasukkan pengecualian terhadap kebebasan berpersatuan satu langkah yang perlu bagi mengelakkan timbulnya implikasi perundangan, pada masa hadapan.

Beliau berkata, langkah tepat kerajaan itu bagaimanapun perlu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Cumanya usaha untuk menjalankan undang-undang antilompat parti ini berjalan agak lama. Kita amat berharap kerajaan mengambil langkah segera supaya setiap usaha ini dapat berjalan dengan cepat, terutama sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

"Kita mengharapkan undang-undang ini dapat direalisasikan, agar kestabilan politik negara lebih terjamin dan dapat mengelakkan amalan lompat parti yang menjejaskan mandat yang diberi oleh rakyat dan juga membuka ruang kepada rasuah melibatkan pemimpin politik," katanya.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memenangi kerusi Larut atas tiket UMNO. - Foto hiasan NSTP
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memenangi kerusi Larut atas tiket UMNO. - Foto hiasan NSTP

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Intan Nadia Ghulam Khan pula, berkata langkah yang diambil oleh kerajaan tepat demi kestabilan politik negara.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 10 Fasal 1(c) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara berhak membentuk persatuan, manakala di bawah Perkara 10 Fasal 2(c), ia memperuntuk Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapati perlu atau suai manfaat, demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

"Saya berpandangan memang terdapat satu keperluan untuk dibuat pindaan Perlembagaan, sebelum Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen, agar ia tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita melihat kepada faktor keperluan untuk kestabilan dari sudut politik terutamanya.

"Kita memang harapkan adanya undang-undang antilompat parti ini kerana kita melihat ketidakstabilan itu berlaku disebabkan faktor ini. Saya rasa langkah kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang ini sesuatu yang sangat penting untuk kesejahteraan negara daripada pelbagai aspek," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini.

Bagaimanapun, Wan Junaidi serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Khamis dalam kenyataan memaklumkan sidang khas itu diteruskan untuk membentang serta membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan pada satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak. – BERNAMA

Datuk Rosol Wahid memenangi PRU-14 atas tiket UMNO dan melompat ke BERSATU. - Foto hiasan
Datuk Rosol Wahid memenangi PRU-14 atas tiket UMNO dan melompat ke BERSATU. - Foto hiasan

Berita Harian X