Selasa, 22 March 2022 | 12:39pm
Lim Guan Eng. - NSTP/ARKIB
Lim Guan Eng. - NSTP/ARKIB

MoU tiada makna jika Akta Anti Lompat Parti tak lulus - Guan Eng

PUTRAJAYA: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dilaksanakan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen 2022, iaitu pada bulan ini seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lalu.

Beliau berkata, akta berkenaan penting untuk menghapuskan 'katak politik' yang mengkhianati mandat rakyat dengan melompat ke parti lain semata-mata kerana tawaran jawatan serta dana kewangan, sekali gus meracuni keyakinan awam ke atas sistem demokrasi, selain melanggar prinsip dan nilai moral.

"Dinyatakan dalam MoU secara hitam putih bahawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti hendaklah dilaksanakan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen tahun 2022, iaitu pada mesyuarat Parlimen bulan Mac ini," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU, Tan Sri Annuar Musa menasihatkan DAP untuk tidak mengeluarkan kenyataan akan menamatkan MoU dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021 jika RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan perkara itu tidak diluluskan di Parlimen.

Katanya lagi, kenyataan sedemikian boleh mengelirukan rakyat serta tidak wajar dan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak akan sesekali tunduk dengan segala ugutan mana-mana parti politik mengenai perkara yang boleh mengelirukan rakyat.

"Kita kena faham RUU Anti Lompat Parti membabitkan pindaan Perlembagaan yang perlu dibawa ke Parlimen, yang mana memerlukan sokongan dua pertiga dan jumlah itu masih belum dicapai.

"Selain itu, jemaah menteri sudah membuat ketetapan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) membuat rundingan awal dengan semua parti politik supaya hasilnya dibawa ke Parlimen dan ia tidak boleh tergesa-gesa hanya kerana ditekan DAP.

"Antara perkara perlu dimuktamadkan ialah pentafsiran 'lompat' itu sendiri kerana di dalam draf ia termasuklah individu yang dibuang parti, padahal situasi sebenar adalah sebaliknya," kata Annuar.

Guan Eng berkata, Annuar perlu berusaha menyempurnakan dengan segera apa yang dipersetujui dalam MoU itu atau beliau perlu bertanggungjawab penuh ke atas segala implikasinya apabila MoU itu terbatal.

"Menteri tahu bahawa sekiranya janji Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia secara hitam putih pun tak boleh dipercayai, apa makna MoU yang ditandatangani?," katanya menegaskan apabila janji MoU tidak dipenuhi, ia secara sendirinya akan terbatal.

Beliau juga mendakwa Annuar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana bimbang tidak akan dipilih bertanding mewakili UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tahu Annuar Musa takut nak pilihan raya umum kerana bimbang tidak akan diberi surat watikah bertanding mewakili UMNO kerana memberontak lawan presiden partinya sendiri, tetapi janganlah kerana takut tak dapat bertanding sehingga nak ubah fakta dan membelakangkan kebenaran.

"Tolonglah baca MoU yang ditandatangani antara pemimpin PH dan Perdana Menteri anda sendiri," kata pemimpin DAP itu.

Berita Harian X