Sabtu, 12 March 2022 | 9:58pm
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah. Gambar fail NSTP
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah. Gambar fail NSTP

TIDAK RASMI: MIC tawan empat DUN

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mendakwa gabungan itu berjaya memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi calon MIC.

Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, berkata MIC secara tidak rasmi menang di DUN Kemelah, Kahang, Tenggaroh dan Bukit Batu.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada pengundi di Johor. Trend perubahan terbukti secara jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus membuktikan penduduk negeri ini telah bosan dengan pembangkang.

"Saya yakin selepas ini Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad akan melakukan yang terbaik untuk semua kaum di negeri ini," katanya pada sesi temu bual secara maya di Facebook BN, malam ini.

Murugiah berkata, kemenangan MIC di PRN Johor akan menterjemahkan kemampuan parti itu menawan kembali kepercayaan pengundi, khususnya dalam kalangan kaum India pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Trend telah kembali kepada BN dan keyakinan ada pada MIC. Saya yakin pada PRU-15 nanti kita juga akan menang sembilan kerusi akan ditandingi MIC.

"PRU-14 kita lihat rakyat marah sehingga kita mahu pakai seragam BN pun risau. Kini, kita tidak lagi bimbang dengan prestasi BN kerana orang ramai sudah menerima semula gabungan ini dengan cara yang baik selepas menjalani liku kehidupan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Berita Harian X