X
Rabu, 9 March 2022 | 9:12pm
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jangan paksa Tun M - Anwar

TANGKAK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas faktor kesihatan, perlu dihormati.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, dengan perkembangan terkini keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu, tiada keperluan untuk memaksa Dr Mahathir terus bertanding pada PRU-15 kelak.

"Saya doakan dia (Dr Mahathir) sihat walafiat...dia tak bertanding tak apalah jangan paksa dia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah kelompok di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) hari ini mengekalkan pendiriannya untuk tidak akan bertanding pada PRU-15 akan datang, berikutan faktor usia dan tahap kesihatannya yang belum pulih.

Ahli Parlimen Langkawi itu dilaporkan berkata, beliau memilih untuk memberi laluan kepada calon muka baharu dan lebih muda supaya mereka dapat berkhidmat lebih cemerlang kepada rakyat.

Sementara itu, Anwar mendakwa pintu sempadan dibuka pada 1 April ini berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak yakin Barisan Nasional (BN) mampu menang besar di Johor sekiranya ia dibuka lebih awal.

Ketua Pembangkang itu berkata, sekiranya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO benar-benar yakin BN mampu menang dengan majoriti dua pertiga, pintu sempadan akan dibuka lebih awal bagi membolehkan pengundi di Johor yang menetap di Singapura pulang untuk menjalankan tanggungjawab pada Ahad ini.

"Sebab itu dia tak berani, dia buka 1 April, kalau dia betul-betul yakin apa beza dua minggu ini?

"Dia tak yakinlah itu, kalau Perdana Menteri betul-betul yakin dia ada kekuatan dia boleh buka pintu sempada sebelum 1 April untuk membolehkan rakyat buat pilihan.

"Ada ratusan pengundi yang dia yakin tidak memilih BN maka dia sekat...maknanya dia tidak yakin," katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memutuskan supaya sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.

Pembukaan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai berkata, hampir 200,000 rakyat negeri ini yang menetap di Singapura layak mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hasni dilaporkan berkata, angka itu diperoleh daripada rekod pendaftaran di aplikasi ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin.

Hasni dilaporkan berkata, daripada 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dianggarkan hampir 200,000 adalah rakyat Johor yang layak mengundi pada PRN kali ini.

Semalam, BH melaporkan kebanyakan pekerja Malaysia di Singapura gagal mendaftar untuk mengundi secara pos menerusi laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Keadaan itu menyaksikan pada Jumaat lalu, SPR memaklumkan hanya 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B (Warga Malaysia yang berada di luar negara) berbanding dengan anggaran 200,000 pekerja Malaysia di Singapura yang dianggarkan kerajaan negeri.

Berita Harian X