Jumaat, 18 Februari 2022 | 7:04pm
Presiden PBM merangkap Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien (tengah) bersama Timbalan Presiden PBM merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha (dua, kanan) dan Pengerusi Perhubungan PBM Negeri Johor juga Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Yoon (tiga kanan) melancarkan jentera parti pada Pelancaran Jentera Parti Bangsa Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

PBM mungkin bertanding lebih dua kerusi

JOHOR BAHRU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak menolak kemungkinan bertanding lebih daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden PBM, Larry Sng Wei Shien, berkata ia berikutan pihaknya yakin penerimaan orang Johor terhadap parti itu walaupun baru bertapak dan julung kali bertanding pada pilihan raya.

"Kita akan memuktamadkan jumlah kerusi dan calon yang akan bertanding diumumkan satu atau dua sebelum hari penamaan pada 26 Februari ini.

"Setakat ini dua calon PBM memang sudah pasti akan bertanding.

"Calon kita adalah calon muda, berpengalaman dan pernah berkhidmat selain kerusi yang akan kita tandingi nanti adalah kawasan campuran.

"Kita yakin 100 peratus akan menang di kawasan yang akan kita tandingi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Julau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran jentera PBM untuk PRN Johor di Jalan Eco Flora, Bandar Dato' Onn di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden PBM, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Pengerusi PBM Johor.

Pelancaran jentera PBM untuk PRN Johor di Jalan Eco Flora, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Mary Victoria Dass
Pelancaran jentera PBM untuk PRN Johor di Jalan Eco Flora, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Mary Victoria Dass

Pada 10 Februari, Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid mengumumkan akan bertanding dua kerusi DUN pada PRN Johor.

Wei Shien berkata, ketika ini PBM masih dengan keputusan untuk bertanding secara solo tetapi tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana gabungan politik sedia ada.

"Ketika ini (keadaan politik) memang dinamik, apa-apa pun boleh berlaku, tetapi dalam kesediaan parti kita, kita memang bersedia.

"Namun ada atau tak ada (bergabung atau tidak) kita tetap akan bertanding," katanya.

Sementara itu, Shiau Yoon ketika ditanya sama ada akan bertanding DUN pada kali ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti.

Berita Harian X