Khamis, 10 Februari 2022 | 2:18pm
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub (kiri) dan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM, Mujibu Abd Muis. - Foto NSTP
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub (kiri) dan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM, Mujibu Abd Muis. - Foto NSTP

MUDA mampu raih perhatian golongan muda, pengundi baharu

JOHOR BAHRU: Parti baharu termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dijangka mampu meraih perhatian golongan pengundi baharu, selain pengundi yang mahukan pembaharuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata pola pengundian PRN Johor berbeza, sekali gus tidak boleh disamakan dengan PRN atau pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini berikutan ketiadaan pengundi automatik.

Mohammad Tawfik yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM) berkata, pengundi automatik membabitkan golongan muda, tidak pernah mengundi selain pengundi inginkan pembaharuan, mampu menjadi `game changer' terhadap keputusan PRN Johor nanti.

"Apabila pengundi automatik mengundi pada PRN Johor, sudah pasti mereka tidak akan 100 peratus menyokong gabungan parti politik konservatif sedia ada. Mereka akan lebih cenderung dengan parti baharu, terutama MUDA.

"MUDA dilihat boleh tawarkan wadah baharu kepada pengundi muda baharu dengan kaedah mereka yang lebih segar dan dekat di hati pengundi.

"Gabungan politik besar tidak boleh lagi mendabik dada menyatakan mereka mampu menang besar atas kapasiti mereka lebih berpengalaman dan mempunyai jentera serta akar umbi yang ramai.

"Apatah lagi setiap parti sedia ada, dilihat menghadapi masalah dalaman mereka sendiri yang pastinya sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran kempen dan jentera mereka, manakala parti baharu dilihat tidak mempunyai masalah sebegini," katanya ketika dihubungi.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia berikutan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor, 12 Mac nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata ia membabitkan 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi tidak hadir (PTH) Luar Negara.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik mengulangi ramalannya bahawa keputusan PRN Johor dijangka mengulangi pencapaian parti politik bertanding pada PRU-14 di Johor.

Katanya, pada PRU-14 tiada mana-mana parti mampu meraih kemenangan selesa dua pertiga, menyebabkan kerajaan campuran terpaksa diwujudkan.

"Sebelum ini kita bercakap parti yang menjadi 'king maker' atau penentu bagi mewujudkan blok kerajaan namun pada PRN Johor, dijangkakan parti baharu termasuk MUDA dijangka menjadi 'game changer' yang akan muncul dan saingi parti lain untuk bekerjasama dalam pembentukan kerajaan membentuk kerajaan negeri nanti. Ia berikutan tiada mana-mana parti mampu menubuhkan kerajaan Johor dengan kerusi yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, pula berkata, pengundi muda mungkin akan memberi impak pada PRN Johor nanti.

Namun katanya, diramalkan tidak semua golongan itu akan berminat untuk keluar mengundi.

"Mungkin parti baharu termasuk MUDA ada kelebihan untuk rebut undi pengundi baharu selain golongan atas pagar yang bosan dengan politiking parti sedia ada.

"Namun dengan isu semasa termasuk penularan COVID-19 selain golongan muda yang akan menghadapi SPM dan mahasiswa masih ada yang perlu menjalani peperiksaan, sudah pasti ibu bapa mereka akan meminta mereka menumpukan pada peperiksaan masing-masing," katanya.

Berita Harian X