Ahad, 19 Disember 2021 | 2:16pm
Muhyiddin (tengah) menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhyiddin (tengah) menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Kuala Lumpur, hari ini.

UMNO bukan 'abang besar'

PUTRAJAYA: Pemimpin tertentu dalam UMNO diingatkan tidak mudah lupa dengan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam pentadbiran negara.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tiada istilah 'abang besar' dalam pentadbiran negara ketika ini kerana kedudukan UMNO dalam pentadbiran negara mendapat sokongan parti, termasuk komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau sedar ramai dalam kalangan ahli BERSATU yang ingin tahu kedudukan parti itu dan PN dalam Kerajaan Persekutuan yang diketuai pemimpin UMNO.

Beliau berkata, ini susulan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Muhyiddin berkata, BERSATU tetap memberi sokongan kepada kerajaan diterajui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, dan pemimpin BERSATU juga masih berada dalam kerajaan.

Beliau berkata, Ismail Sabri sendiri pernah mengakui UMNO kembali ke tampuk kerajaan bukan kerana ia memiliki jumlah majoriti kerusi dalam Parlimen atau UMNO mencapai kemenangan, sebaliknya hasil sokongan parti dalam PN serta Ahli Parlimen bebas yang menyokong.

"Ya, saya tiada dalam kerajaan tapi saya presiden parti yang menyokong kerajaan dan sokongan ini berdasarkan terma-terma tertentu.

"Kita tandatangani MoU (memorandum persefahaman) ada terma-terma yang perlu dipatuhi dan diikuti. Yang telah kita persetujui bersama. Kita tak dedahkan cuma kita bagi tajuk saja dan selagi mana terma-terma ini dipatuhi, selagi itulah kita beri sokongan sehingga tiba masa sesuai untuk diadakan PRU-15

"Jadi, saya nak pesan kepada sesetengah pihak dalam UMNO ni, bukan semua ... hormatlah sikit ... hormati lah kita ni sikit. 'There's no big brother'. Sama je... jangan mudah lupa diri. Cakap lembut je, takut salah faham, bukan kerana takut," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian persidangan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Mac 2021.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian persidangan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Mac 2021.

Berita Harian X